Meneruskan kesinambungan aspirasi sebagai Kolej Kediaman Karbon Rendah, Kolej Kediaman Perwira Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengorak langkah dengan melancarkan konsep Surau Lestari pada 10 Mac 2017 lalu.
Konsep Surau Lestari diangkat menerusi projek inovasi pelajar yang dilhamkan setelah melihat bagaimana setiap kali wuduk diambil, air lebihan wuduk terbiar begitu sahaja. Menerusi kajian awal yang dilaksanakan oleh Majlis Kepimpinan Pelajar Kolej Perwira, sejumlah 2.86 liter air dibazirkan oleh seorang pelajar yang mengambil wuduk dan ini membawa kepada jumlah pembaziran mingguan, bulanan dan tahunan masing-masing sekitar 14.30, 443.30 dan 5,391.60 liter. Statistik ini jelas menunjukkan bahawa apa yang sedang diusahakan adalah sangat signifikan bukan sahaja untuk mengelakkan pembaziran malah memikiran bagaimana penjimatan boleh dilakukan.
Pengetua Kolej Perwira UTHM, Profesor Madya Dr Afandi Ahmad menzahirkan rasa gembira dengan daya usaha yang diambil kerana bukan sahaja pelaksanaan ini selari dengan paradigma Tauhid yang menjadi tunjang misi UTHM, malah aspek inovasi dan penyelesaian masalah harian ini adalah perkara yang berkait rapat dengan penyelesaian masalah yang kompleks yang turut ditekankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di UTHM.
Menurut beliau air lebihan wuduk para jemaah di Surau Kolej Perwira kini disalurkan kepada sebuah tangki yang kemudiannya ditapis dan dipam mengikut kadar masa yang tertentu kepada bahagian sayur-sayuran yang ditanam di sekitar kawasan Surau.
“Pada masa kini terdapat dua jenis sayuran iaitu salad dan sawi mendapat manfaat daripada lebihan air wuduk ini. Dalam masa terdekat, kejayaan kajian rintis ini membawa kepada cadangan untuk meningkatkan skala projek bagi membolehkan lebih banyak sayur-sayuran ditanam dan seterusnya dapat dipasarkan bagi tujuan penjanaan pendapatan kepada mahasiswa.”
“Secara langsung, usaha ini bukan sahaja menajamkan kemahiran teknikal para pelajar dalam menyelesaikan masalah seharian tetapi juga meningkatkan kemahiran keusahawanan dalam diri mereka selari dengan lonjakan pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi),” katanya dalam ucapan majlis pelancaran Surau Lestari baru-baru ini.
Turut diadakan ketika pelancaran, kepimpinan Kolej Perwira bersama para penghuni merealisasikan amalan gaya hidup sihat menerusi program Jom Jalan di sekitar kampung dan taman berhampiran. Ini adalah acara tradisi yang telah diamalkan sejak tahun 2012 dalam usaha menzahirkan semangat Kolej Kediaman Karbon Rendah mengamalkan gaya hidup ringkas tetapi berkualiti. Dalam aktiviti ini penghuni bersama kepimpinan berjalan dengan jumlah 5,322 langkah dalam tempoh hampir satu jam sambil berbual mesra dan mengabadikan kenangan menerusi swafoto bersama.
Konsep Surau Lestari yang menjadikan lebihan air wuduk sebagai sumber yang boleh dimanfaatkan bersama aktiviti berjalan kaki adalah usaha yang luar biasa dan wajar dihargai. Pada zaman yang penuh dengan cabaran teknologi yang memuncak, hubungan sosial yang positif dalam masyarakat dengan kesedaran kecintaan terhadap alam sekitar yang tinggi mesti diberikan perhatian. Bukan sahaja untuk generasi hari ini, tetapi esok dan masa yang akan datang. Tindakan kita pada hari ini adalah pelaburan untuk generasi akan datang.