Penganjuran program “Ambassadors of Sustainability” Kelestarian Antarabangsa UTHM anjuran Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencatat rekod tersendiri apabila berjaya menarik penyertaan seramai 200 peserta dari 80 negara seluruh dunia.
Program yang dikendalikan oleh Impact Youth Sustainability yang diketuai oleh Presidennya, Dr. Wesam Al-Madhoun turut mendapat kerjasama daripada Micro Pollutant Research Centre (MPRC) UTHM dan Institut Teknologi Sumatera (ITERA).
Menurut Dr. Wesam, program yang diadakan selama lima hari bermula 10 hingga 14 Ogos ini diadakan bertujuan untuk mengembangkan kemampuan aktivis antarabangsa berkaitan peranan, nilai dan prinsip kelestarian secara global yang perlu diamalkan untuk kesejahteraan masyarakat. Program yang berlangsung selama 10 jam setiap hari itu diisi dengan beberapa slot menarik merangkumi Pengenalan Kepada Kelestarian dan SDG, Kelestarian Ekonomi, Kelestarian Alam Sekitar, Tadbir Urus dan Kepimpinan untuk Kelestarian.
Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly hadir menyempurnakan majlis perasmian sebagai tanda sokongan beliau kepada program berimpak tinggi ini. Hadir sama, Profesor Dr. Shahbaz Khan, Pengarah Biro Sains Serantau UNESCO untuk Asia dan Pasifik yang berpusat di Jakarta Indonesia; Nyembo S. Jay, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap pengasas kepada Impact Youth Sustainability; Profesor Madya Dr. Acep Purqon, Pengarah Pejabat Antarabangsa ITERA, Indonesia dan Profesor Madya Dr. Radin Maya Saphira Radin Mohamed, ketua MPRC, UTHM.
Datuk Wahid dalam ucapannya melahirkan rasa kagum atas inisiatif dan komitmen yang ditunjukkan oleh UTHM terhadap kelestarian secara global. Beliau turut menekankan tentang betapa pentingnya penganjuran program seumpama ini secara kolaborasi agar impaknya lebih berkesan.
Sementara itu, Profesor Shahbaz pula dalam program tersebut menekankan prinsip-prinsip kelestarian yang merangkumi elemen persekitaran, ekonomi dan sosial. Beliau dalam slotnya turut memperkatakan tentang isu dan kesan positif terhadap kelestarian ketika dunia dilanda wabak Covid-19 selain turut membincangkan usaha UNESCO dalam mempromosi dan melaksanakan amalan kelestarian.
Dalam majlis perasmian itu juga, Nyembo S. Jay dalam ucapannya juga menyatakan minatnya untuk memperkuatkan kolaborasi dengan UTHM dalam mempromosikan kelestarian secara global. Beliau turut mengumumkan pemilihan Dr. Wesam sebagai pemimpin kepada inisiatif global Impact Youth Sustainability.