KLUANG – Pelajar daripada Kluster Kejuruteraan Air dan Persekitaran (KKAP), Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan program perpindahan ilmu berkaitan kualiti air melibatkan pelajar-pelajar sekolah bagi melengkapkan projek sarjana mudanya (PSM).

Pelajar terbabit, Aqilah Zakiah Jahani dibawah seliaan Ts. Dr. Mohd Ariff Ahmad Nazri telah menggerakkan program perkongsian ilmu berkaitan kaedah pengukuran kualiti air melalui taburan hidupan akuatik macroinvertebrate dengan pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan LKTP Ulu Dengar (SKUD) dan Sekolah Kebangsaan Abdul Rahman Yassin (SKARY), Kluang.

Menurut Aqilah, setiap jenis dan kategori hidupan ini akan memberikan skor kebersihan yang berbeza berdasarkan tahap kebersihan dan kualiti air di kawasan habitatnya.

“Kaedah kajian ini akan memberi pendedahan kepada murid-murid terbabit untuk menggunakan kaedah Average Score Per Taxon (ASPT) yang mana kajiannya tertumpu di kawasan sekitar kaki air terjun di daerah tersebut.

“Kaedah ASPT merupakan teknik mudah dan terbaik untuk mengenali jenis hidupan akuatik dan keberadaan mereka menyumbang kepada tahap kualiti air,” katanya.

Projek ini mampu membuka minda pelajar-pelajar yang terlibat mempelajari subjek sains, berkaitan hidupan macroinvertebrate iaitu hidupan tidak bertulang.

Kawasan air terjun di pertengahan aliran, Hutan Lipur Gunung Belumut dijadikan tempat kajian bersama antara 24 orang murid daripada SKUD dengan 13 pelajar FKAAB.

Manakala, seramai 36 pelajar SKARY bersama lapan pelajar FKAAB pula menjalankan kajian pengukuran kualiti air ini di anak sungai Hutan Rekreasi Gunung Lambak, Kluang.

Menurut Ketua Program, Dr. Ariff program sebegini telah membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada pelajar FKAAB untuk menjadi sukarelawan di samping mampu meraih ilmu baharu selain pembelajaran di bilik kuliah.

Sepanjang dua hari program berlangsung, pelajar dan guru sekolah serta pelajar FKAAB yang terlibat memberikan respon yang positif selari dengan objektif program ini.

“Pelbagai jenis hidupan akuatik yang ditemui di kedua-dua kawasan kajian membolehkan para peserta mendapat input yang berguna berkaitan pemahaman terhadap kualiti air sekali gus dapat mempraktikkan slogan Sayangi dan Cintailah Sungai Kita.

“Program sebegini merupakan pengalaman pertama mereka mengenal hidupan akuatik yang selama ini tidak pernah terfikir bahawa wujudnya satu sistem yang lengkap di dalam air untuk meneutralkan atau menambah baik kualiti air,” tambah Dr. Arif.

Sementara itu, Guru Besar sekolah terbabit pula berkata pihaknya amat berbesar hati apabila para pelajar diberi pendedahan awal secara praktikal kerana usaha ini dapat mendidik mereka melestarikan alam sekitar di usia muda selain dapat menyemai sikap pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar.

“Program sebegini ternyata mampu memberi impak yang positif dan sebaiknya diteruskan lagi untuk generasi akan datang sejajar dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya,” ujar beliau.