Tarikh 24 Januari 2020 menyaksikan bermulanya episod ini di Malaysia dengan pengesahan tiga kes pertama. Kini, kita semua sedang mendepani pandemik COVID-19 yang membawa kepada penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan lanjutan sehingga 14 April 2020. Persoalannya, bagaimanakah kelangsungan Universiti pada musim mencabar ini? Berupayakah pensyarah dan pelajar menghadapi cabaran pengajian yang lebih berbeza?

Mahasiswa secara keseluruhannya boleh dikatakan masih terkejut. Mereka tidak menjangka bahawa “cuti” kali ini luar biasa panjangnya. Pensyarah juga tidak kurang cabarannya, perlu menyesuaikan diri dengan mod berkerja dari rumah. Kerana amanah melaksanakan pembelajaran dan pengajaran (PdP) tetap perlu diteruskan. Tetapi bagaimana? Jelas sekali, PdP secara atas talian adalah antara pilihan yang ada.

PdP secara atas talian merupakan kontra kepada pertemuan bersemuka. PdP secara atas talian bukanlah perkara asing di Universiti. Apatah lagi menerusi falsafah cybergogy yang begitu dekat dengan generasi hari ini selain daripada heutagogy dan paragogy. Menghadapi perubahan gaya pembelajaran seperti ini tidaklah mudah. Pelajar mesti memaklumkan kepada pensyarah keupayaan akses Internet mereka. Ini amat penting bagi memastikan pensyarah tidak pukul rata dalam melaksanakan PdP atas talian. Dalam pada itu, dengan keterbatasan pergerakan, pelajar hendaklah memanfaatkan sepenuhnya sumber atas talian, misalnya buku elektronik, You Tube malah juga kalkulator saintifik. Mengambil kira cabaran sama ada para pelajar kini masih berada di kampus atau telah berada di rumah, mereka mesti lebih berdisiplin, Maklum sahaja, tidak perlu berkejaran ke dewan kuliah, tetapi hanya perlu duduk di depan komputer atau bersama telefon bimbit bagi mengikuti pengajian.

Menyedari cabaran PdP atas talian ini, para pensyarah juga mesti mengubah cara mereka berkerja. Pensyarah mesti mengambil tahu latar belakang sosio-ekonomi pelajar dan tahap keupayaan pembelajaran mereka. Pensyarah tidak lagi boleh duduk selesa dengan kaedah tradisional. Teknologi perlu menjadi teman setia sebagai alat bantu bagi proses PdP. PdP secara atas talian dikategorikan sebagai pembelajaran segerak dan tidak segerak. Perbezaan ini mesti difahami agar pensyarah boleh melaksanakannya secara inklusif untuk semua kumpulan pelajar walau di mana sahaja mereka berada.

Pembelajaran segerak ialah PdP atas talian yang berlaku secara serentak antara dua atau lebih pihak pada masa nyata, misalnya persidangan video dan perbualan langsung. Konsep ini memerlukan fasiliti yang sangat baik antara pensyarah dan pelajar serta akses capaiannya dan melibatkan kos yang tinggi.

Manakala PdP atas talian tidak segerak pula adalah sesi yang dilangsungkan secara tidak serentak dan berpusatkan pelajar dengan memanfaatkan sumber atas talian yang terhad. Ini dijalankan bagi memudahcara kekangan masa nyata, fasiliti serta keberadaan pensyarah dan pelajar. Kaedah ini antaranya dalam bentuk video tersimpan, pembacaan artikel, kiriman perbincangan dan perkongsian nota.

Justeru, ke arah memaksimakan konsep kuliah digital, antara yang boleh dipertimbangkan ialah:

  1. Pensyarah hendaklah tidak memindahkan keseluruhan slaid kepada video tanpa langsung ada suara dan wajah mereka. Rasionalnya, keberkesanan PdP masih dipengaruhi oleh elemen suara dan wajah.
  2. Untuk memperkukuh interaksi antara pelajar dan pensyarah, kedua-dua pihak mesti boleh melihat antara satu sama lain.
  3. Jangan memaksa teknologi dengan semua PdP dilakukan secara atas talian segerak. Manusia dan teknologi ada batasannya!
  4. PdP atas talian mesti berpusatkan pelajar. Pelajar perlu lebih aktif dan berdikari.
  5. Pelajar perlu mewujudkan kumpulan belajar berkumpulan bagi membolehkan diskusi dan bantuan berlaku sesama mereka.
  6. Pensyarah hendaklah mengenalpasti kumpulan pelajar yang berkecenderungan untuk tercicir atas kekangan gaya pembelajaran dan teknologi.

Sebagai kesimpulannya, dalam pada kita berdepan dengan cabaran baharu gaya belajar dan berkerja, pensyarah dan pelajar masing-masing perlu mengubah set minda. Pensyarah mesti lebih kreatif dan inovatif demi memastikan tugasan PdP berjalan sebaiknya. Pelajar pula sudah tentu perlu berusaha keras dengan cabaran PdP atas talian ini. COVID-19 bukan alasan untuk kita terus mengeluh!

Oleh: Profesor Madya Dr Afandi Bin Ahmad

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UTHM