Batu Pahat, 29 Mac – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus komited melaksanakan tanggungjawab sosial terutama kepada warganya yang terdiri daripada pelajar dan staf serta masyarakat sekeliling.

Kelab Staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (KSUTHM) bersama Pejabat Pendaftar telah menyelaras beberapa bentuk bantuan bagi membantu meringankan warganya. Antaranya dengan menubuhkan Tabung Sumbangan Derma Kilat Pengurusan Covid-19 UTHM. Kutipan dana hasil sumbangan warga kampus dan orang ramai itu digunakan untuk kebajikan staf dan pelajar serta petugas barisan hadapan yang terlibat dengan wabak pandemik ini.

Kedua-dua pihak ini juga turut mengambil beberapa inisiatif lain seperti mewujudkan Jawatankuasa Sukarelawan Sokongan dan pencarian sukarelawan, menyediakan penempatan untuk sementara dengan kerjasama kolej-kolej kediaman terpilih dan membuat agihan facemask serta sumbangan makanan kepada petugas Covid-19.

Tidak terhenti di situ, pihak ini juga turut menyelaras beberapa bentuk bantuan kemanusian lain seperti melakukan proses disinfeksi di rumah keluarga mangsa Covid-19, menghantar sumbangan makanan ke Hospital Permai Johor Bahru yang menjadi pusat penempatan utama mangsa wabak di negeri ini, menguruskan pemindahan ahli keluarga staf yang didapati positif serta mengambil dan menghantar pulang staf yang sembuh dari hospital.

Lebih membanggakan apabila satu pasukan sukarelawan UTHM telah berjaya menghasilkan lebih 500 pelindung muka untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan negara, melibatkan dua hospital iaitu Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat dan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Sementara itu, Institut Kejuruteraan Integrasi (I2E) dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), UTHM turut menzahirkan keprihatinan masing-masing dengan menyerahkan facemask dan sarung tangan kepada Pejabat Pendaftar dan Bahagian Keselamatan serta juga menyediakan 10 liter stok hand sanitizer buatan sendiri untuk kegunaan dalaman kampus.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini juga, kebajikan pelajar-pelajar yang dikuarantin dan yang tidak pulang ke kampung (non-kuarantin) juga dijaga dengan sebaiknya di bawah penyelarasan Jawatankuasa Kerja Khas Hal ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselornya. Mereka sentiasa dibekalkan dengan makanan dan keperluan harian yang lain secukupnya, dengan menggunakan peruntukan khas dan hasil sumbangan pihak yang prihatin.

Pusat Kaunseling Universiti turut memainkan peranannya dengan menawarkan khidmat kaunseling secara maya bagi membantu warga kampus yang menghadapi tekanan sewaktu menjalani tempoh PKP. Pasukan Kaunselor yang ada sentiasa bersedia membantu memberi khidmat nasihat dan sokongan moral kepada semua pelajar dan staf yang memerlukan khidmat tersebut melalui applikasi ‘whatsapp.’

Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat pula memainkan peranannya untuk mendidik kesedaran, menyelaras dan menyalurkan maklumat terkini berkaitan wabak pandemik ini dari semasa ke semasa dengan memastikan maklumat yang diterima oleh media, warga kampus dan orang awam adalah tepat dan tidak bercanggah dengan fakta sebenar.

Disamping itu, bagi memastikan keselesaan pelajar yang menginap di kolej-kolej kediaman  mengekses internet dengan kelajuan yang maksimum, Pusat Teknologi Maklumat (PTM) telah meningkatkan kapasiti wifi di kolej-kolej kediaman dari 5Mbps kepada 20Mbps serta membuat pemasangan Access Point di bilik Gerakan Covid-19 Kolej Kediaman Perwira. Menurut sumber, pihak PTM juga akan mengusahakan penambahbaikan aplikasi WorkSpace untuk perekodan projek dan tugasan di Pusat-Pusat Tanggungjawab dalam tempoh PKP ini.

UTHM bertanggungjawab dalam memastikan usaha-usaha yang diambil ini digerakkan secara berterusan melalui sumbangan tenaga dan kepakaran yang ada dan akan terus menyokong usaha kerajaan menangani wabak Covid-19 ini.