JOHOR BAHRU – Dr. Sarala Thulasi Palpanadan dari Pusat Pengajian Bahasa (PPB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dilantik sebagai salah seorang hakim untuk Anugerah NILAM Peringkat Negeri Johor 2020 yang diadakan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor pada 24 hingga 26 Februari lalu.

Pertandingan anjuran JPN Johor ini diadakan bertujuan memilih wakil peserta bagi mewakili negeri Johor ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada Mac ini. Wakil-wakil negeri Johor yang terpilih akan mengambil bahagian dalam kategori penilaian Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah). Para peserta adalah terdiri daripada wakil pelajar yang telah menjadi juara pertandingan NILAM di daerah masing-masing.

Dr. Sarala berbesar hati menerima pelantikan ini bagi membantu melonjakkan nama universiti selain ingin menyumbang khidmat kepakarannya untuk masyarakat luar. Beliau yang dilantik sebagai panel hakim bagi kategori sekolah rendah turut melahirkan rasa kagum dengan kebolehan dan pencapaian para peserta dari semua daerah di negeri Johor ini.

“Salah satu syarat penyertaan adalah para peserta perlu mempunyai bilangan bacaan melebihi 360, satu angka yang agak besar namun mereka boleh mencapainya dengan mudah sekali gus mampu mengingati tema dan sinopsis bahan bacaan dengan baik.

“Menariknya, para peserta mampu menjawab soalan-soalan daripada panel hakim menggunakan dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris.

“Calon-calon juga mampu mengaitkan bahan bacaan dengan isu-isu berkaitan sosial, emosi dan psikologi secara global dengan baik sekali semasa sesi soal-jawab,” tambahnya.

Menurutnya lagi pemenang keseluruhan pertandingan bagi kategori sekolah rendah telah diraih oleh daerah Johor Bahru.

Untuk rekod, program NILAM yang bermaksud ‘Nadi Ilmu Amalan Membaca‘ telah dimulakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) semenjak tahun 1999. Program ini bertujuan untuk menggalakkan aktiviti membaca dalam kalangan murid-murid di sekolah dengan pengiktirafan yang bersesuaian. Program ini telah mula dilaksanakan dengan rasminya pada tahun 1999 bagi murid tahun satu di sekolah rendah dan tingkatan satu atau peralihan di sekolah menengah.

Dr. Sarala menambah usaha murni melalui penganjuran program seperti ini perlu diperluaskan dalam kalangan pelajar,bukan sahaja di peringkat sekolah rendah dan menengah malah di peringkat institut pengajian tinggi agar terus menjadi budaya dalam kehidupan sehari-hari.