Program kerjasama mentor-mentee pupuk minat pelajar terhadap STEM

MUAR, 26 Feb – Bagi memupuk  minat dan pemahaman pelajar sekolah terhadap sains dan matematik, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meneruskan penganjuran...
3

MUAR, 26 Feb – Bagi memupuk  minat dan pemahaman pelajar sekolah terhadap sains dan matematik, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meneruskan penganjuran Program MESTECC Mentor-Mentee STEM buat kali kedua bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Perak, Muar, Johor pada 26 Februari lalu.

Rentetan itu, satu majlis perasmian telah diadakan pada 26 Februari lalu bertempat di sekolah tersebut. Program initiatif MESTECC Mentor- Mentee STEM ini merupakan hasil kerjasama di antara UTHM, Pusat STEM Universiti Malaya (UM) dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) yang mana UTHM sebagai pelaksana, Pusat STEM UM sebagai penyelaras peringkat nasional dan MESTECC sebagai pengeluar dana. Untuk rekod, UTHM sebelum ini pernah menjayakan program sebegini di Sekolah Rendah Kebangsaan Paya Redan.

Majlis tersebut turut menyaksikan upacara Pelancaran Modul STEM sekali gus termeterai jalinan kerjasama antara UTHM dan SMK Tun Perak. Turut hadir ke majlis itu, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Muar, Encik Puniran Denan; Dekan FAST, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa dan beberapa wakil dari Syarikat ST Microelectronics Sdn. Bhd. yang diketuai oleh Pengarah Sumber Manusia, Cik Chew Huichin.

Simbolik kerjasama tersebut yang disaksikan oleh wakil industri dan pihak sekolah adalah bertujuan mewujudkan lebih banyak peluang kerjasama di masa akan datang sebagai inisiatif melahirkan generasi muda yang berbakat dalam bidang sains dan kejuruteraan sesuai dengan matlamat kerajaan melahirkan modal insan yang berwawasan dan berpengetahuan tinggi.

Menurut Dr. Kamarulzaki, pelaksanaan program ini sejajar dengan objektif penganjuran yang bertujuan untuk memupuk minat dan pemahaman dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah terhadap sains dan matematik melalui aktiviti dan demostrasi modul-modul yang disediakan.

“Program seperti ini amat penting bagi melahirkan ramai pelajar yang berbakat besar dalam bidang penyelidikan serta menyediakan tenaga kemahiran STEM untuk pembangunan negara di masa hadapan terutamanya dalam mendepani cabaran IR 4.0,” katanya.

Jelas beliau lagi, program ini melibatkan beberapa orang pensyarah UTHM yang berperanan sebagai fasilitator, 14 orang pelajar Pascasiswazah yang berperanan sebagai mentor, 70 orang pelajar SMK Tun Perak sebagai mentee dan juga beberapa orang guru dari SMK Tun Perak yang bersama-sama berganding bahu bagi menjayakan program ini bermula bulan Februari sehingga Jun 2020.

Menariknya pada tahun ini aktiviti STEM juga melibatkan pihak industri bagi memastikan pelajar dapat melihat sendiri teknologi yang ada di industri sekali gus dapat mengetahui peluang-peluang yang ada di dalam bidang ini.

“Pihak kami amat berbesar hati menerima maklum balas dan komitmen yang sangat baik daripada rakan industri, ST Microelectronics Sdn. Bhd.

“Kami juga amat mengalu-alukan pihak industri yang lain untuk terlibat sama dalam menjayakan program-program STEM yang mempunyai kepentingan di peringkat nasional,” ujarnya.

 

Categories
Sains Gunaan dan Teknologi

RELATED ARTICLE