Oleh: Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UTHM

BATU PAHAT: Wabak COVID-19 yang sedang melanda negara memberikan kesan langsung kepada operasi di universiti dan antara yang terkesan adalah kumpulan pemegang taruh utama iaitu mahasiswa. Apabila Perdana Menteri Malaysia mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac dan kini dilanjutkan sehingga 14 April 2020, pelbagai perkara memerlukan lebih penelitian.

Demi memastikan kebajikan mahasiswa terus menjadi keutamaan, pasukan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad merumuskan formula 3K sebagai kerangka utama sinergi antara semua pihak, merujuk kepada komponen Kebajikan, Kesejahteraan dan Keselamatan mahasiswa. Aspek kebajikan merujuk kepada keperluan asas mahasiswa iaitu penginapan, makanan dan minuman, manakala kesejahteraan pula merujuk kepada gaya hidup seharian dan komponen keselamatan pula merujuk kepada pergerakan pelajar agar kekal mematuhi arahan PKP.

Bagi menangani penularan wabak ini, hampir 2300 mahasiswa di UTHM kampus induk Parit Raja dan kampus cawangan Pagoh berada di pusat penginapan sementara di beberapa kolej kediaman. Kebajikan mereka diuruskan dengan penuh integriti dan dedikasi oleh para petugas. Antaranya proses agihan makanan dilaksanakan secara berjadual di kolej-kolej kediaman termasuk Pelajar Tanpa Asrama (PTA) yang tinggal di rumah-rumah sewa, yang diketuai oleh Pengetua, Felo, Pembantu Felo, para sukarelawan dan Majlis Kepimpinan Pelajar (MKP). UTHM amat berterima kasih kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang sentiasa mengambil berat berkaitan hal ehwal pelajar serta juga kepada pelbagai pihak dan agensi lain yang terus memberikan sumbangan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa terjamin.

Sementara itu, aspek kesihatan mental dan sokongan moral juga turut diberikan oleh barisan kaunselor sama ada menerusi telefon dan juga aplikasi kumpulan WhatsApp selain dibantu oleh Pengetua dan Felo. Bagi meningkatkan kesejahteraan pelajar yang menginap di pusat penginapan sementara, keupayaan capaian Internet juga dipertingkatkan selain turut melaksanakan beberapa aktiviti secara atas talian. Langkah ini bertujuan untuk membolehkan masa yang ada diisi sebaiknya dengan aktiviti yang berfaedah dan membentuk minda yang cergas. Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bersama MKP telah berganding bahu menyelaras aktiviti dalam kalangan mahasiswa pada tempoh ini.

Profesor Datuk Ts Dr. Wahid Razzaly yang kini Menjalankan Tugas Naib Canselor sentiasa mengambil berat soal 3K dalam kalangan mahasiswa ini. Selari dengan agenda pemberdayaan mahasiswa juga, Yang DiPertua MPP dilantik bersama-sama dalam Jawatankuasa Krisis COVID-19 UTHM. Dengan cara ini, sebarang pandangan mahasiswa berhubung aspek 3K dapat terus sentiasa dilaksanakan penambahbaikan kualiti berterusan (CQI).

Semua usaha berkaitan 3K ini akan terus diperkemas demi memastikan kehidupan mahasiswa di kampus walaupun pada tempoh mencabar ini dalam keadaan yang teratur. Ini juga amat penting bagi menyurutkan kerisauan ibu bapa kerana kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan anak-anak mereka sentiasa menjadi keutamaan pihak UTHM.

Proses agihan makanan di Kolej Kediaman Tun Syed Nasir turut menitikberatkan aspek kebersihan para pelajar
Proses agihan makanan di Kolej Kediaman Tun Dr Ismail dengan penandaan jarak antara para pelajar.
Proses agihan makanan di Kolej Kediaman Tun Fatimah juga diuruskan oleh siswa dan siswi.
YBrs TNCHEPA sempat bertanya khabar para pelajar yang tidak pulang di Kolej Kediaman Bestari.
Mahasiswa yang tidak pulang menzahirkan rasa terima kasih menerusi poster ringkas.
Antara sukarelawan yang tidak jemu-jemu membantu para pelajar yang tidak pulang bagi Pelajar Tanpa Asrama (PTA).
Antara sukarelawan yang membungkus semula sumbangan pihak luar untuk diagihkan kepada para pelajar yang tidak pulang di Kolej Kediaman Pagoh.
Sumbangan menerusi pelbagai pihak terus diperolehi di Kolej Kediaman Pagoh.