Pemerkasaan alam sekitar dan peningkatan kualiti hidup masyarakat sebagai agenda utama negara

Rakyat Malaysia menarik nafas lega apabila pembentukan kabinet baharu telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia dan diperkenankan oleh Yang Dipertua Agong. Kini adalah masa yang terbaik untuk semua menteri...
WhatsApp Image 2020-03-12 at 12.49.49

Rakyat Malaysia menarik nafas lega apabila pembentukan kabinet baharu telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia dan diperkenankan oleh Yang Dipertua Agong. Kini adalah masa yang terbaik untuk semua menteri yang dilantik menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan penuh integriti sepertimana yang diharapkan oleh rakyat secara keseluruhan.

Dalam mendepani pelbagai isu semasa yang merangkumi politik, ekonomi dan sosial, rakyat sangat mengharapkan kerajaan baharu tampil lebih berintegriti dan berkarisma dalam menyantuni keperluan dan kehendak rakyat. Aspek pembangunan seperti ekonomi, meningkatkan pendapatan rakyat, perpaduan, keselamatan dan kesihatan persekitaran merupakan agenda yang perlu diangkat oleh kerajaan.  Rakyat meletakkan harapan yang tinggi dengan perubahan iklim politik ini akan membawa impak kesejahteraan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Kesejahteraan alam sekitar dan peningkatan kualiti hidup masyarakat sama ada di bandar mahupun luar bandar wajar dijadikan sebagai tunggak utama dalam mengurus tadbir sesebuah wilayah. Rakyat adalah keutamaan walau dalam apa jua situasi. Oleh yang demikian, isu-isu yang berkaitan kesejahteraan masyarakat harus diperkasakan di peringkat akar umbi. Isu seperti kemiskinan, peluang pekerjaan, kesihatan, pendidikan, sosial dan  alam sekitar harus dilihat secara holistik.

Sejak sekian lama isu kesejahteraan alam sekitar dan masyarakat yang melibatkan  kemerosotan kualiti alam sekitar termasuk sungai, udara, tanah, penebangan hutan dan sampah sarap semakin meningkat. Manakala isu kesejahteraan masyarakat seperti peningkatan kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan perumahan menjadi isu yang tidak pernah selesai. Sedangkan dalam masa yang sama kualiti persekitaran dan kesejahteraan hidup masyarakat semakin merosot. Sumber alam semakin terjejas dan sumber air di Malaysia menjadi semakin terancam.

Pertumbuhan penduduk di Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun. Dari sudut ekonomi mempunyai dua implikasi, iaitu membekalkan sumber tenaga kerja dan dalam masa yang sama memberi bebanan kepada kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan, kemudahan kesihatan, perumahan dan sebagainya.

Pertumbuhan penduduk yang tinggi turut menyumbang kepada peningkatan penjanaan sampah sarap di bandar-bandar besar. Pencemaran udara dan hingar turut meningkat ekoran pertambahan jumlah kenderaan bermotor, kegiatan perkilangan dan perindustrian. Kepesatan aktiviti pembinaan turut menyumbang kepada penghasilan sisa-sisa pembinaan serta kualiti air sungai semakin merosot, sepertimana kualiti air Sungai Bertam di Tanjung Malim, yang tercemar disebabkan pembuangan sisa pembinaan ke dalam sungai. Implikasi ini jelas menunjukkan bahawa pertumbuhan penduduk perlu diuruskan dengan bijaksana.

Selaras dengan pelantikan Menteri Alam Sekitar, besar harapan supaya kualiti alam sekitar negara bertambah baik. Agenda pemerkasaan Alam sekitar wajar diberi perhatian. Pembangunan yang berteraskan “Sustainable Development”  dalam apa jua aspek pembangunan perlu ditegaskan. Ianya selaras dengan polisi dan kehendak di peringkat antarabangsa yang menyeru negara dunia supaya mengaplikasi pembangunan mampan baik di peringkat pusat hingga kerajaan tempatan.

Pemakaian Akta, Peraturan, polisi dan garis panduan berkaitan dengan Alam Sekitar harus ditingkatkan. Sebarang pencemaran alam sekitar yang dilakukan sama ada secara sengaja atau tidak segaja, tidak harus dimaafkan. Individu yang terbukti bersalah mencemarkan alam sekitar perlu dikenakan “Penalty” dan tidak boleh diikat jamin. Ia bertujuan untuk memberi pengajaran kepada “penjenayah alam sekitar” dan orang lain yang berniat untuk merosakkan alam sekitar. Adalah diharapkan dengan kaedah ini kemerosotan kualiti alam sekitar dapat dikurangkan dari semasa ke semasa.

Selain itu, kerajaan harus serius mendidik masyarakat dalam menguruskan alam sekitar. Pelbagai pendekatan harus dilaksanakan bagi mendidik masyarakat menghargai, dan peka terhadap alam sekitar. Pendidikan alam sekitar di peringkat sekolah, kempen, ceramah, pengedaran risalah, diskusi, wacana ilmu dan forum berkaitan dengan kepentingan penjagaan alam sekitar harus ditingkatkan dan diperluaskan ke segenap lapisan masyarakat.

Jika dirujuk kepada negara maju, tahap kesedaran masyarakat mereka terhadap alam sekitar adalah tinggi. Mereka sangat menghargai alam sekitar. Namun, di Malaysia tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat masih lagi rendah iaitu tidak mencapai 30%. Oleh yang demikian, kebanyakan kempen berkaitan alam sekitar gagal mencapai matlamatnya. Sebagai contoh program kitar semula yang dilancarkan ke seluruh negara juga kurang mendapat sambutan dari masyarakat. Ini kerana kemudahan tong dan pusat kitar semula hanya berada di kawasan tertentu sahaja. Manakala bagi masyarakat yang tinggal di luar bandar, keadaannya amat terbatas.

Seiring dengan penularan wabak Koronavirus (Covid 19), semua pihak harus berganding bahu bagi memastikan keselamatan persekitaran mereka daripada jangkitan virus. Alam sekitar fizikal antara komponen utama yang terjejas ekoran penularan virus ini dan menyumbang kepada kematian manusia hampir di seluruh dunia.

Oleh yang demikian, komitmen kerajaan dalam memulih dan menguruskan alam sekitar perlu seiring antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Kerjasama yang erat harus dilakukan terutama melibatkan kawasan hutan, sumber air, tanah dan galian. Kerjasama dan persefahaman yang erat perlu diwujudkan antara kerajaan pusat dan negeri supaya dapat membendung kemerosotan kualiti alam sekitar daripada terus meningkat. Ianya selaras dengan Agenda 21 yang ingin memastikan pembangunan yang mampan di seluruh negara iaitu merangkumi kerajaan tempatan.

Rakyat menaruh harapan yang tinggi terhadap kerajaan baharu agar dapat meningkatkan  ekosistem alam sekitar negara. Selain daripada memperkasakan pendidikan alam sekitar kepada semua lapisan masyarakat, undang-undang alam sekitar wajar disemak semula selari dengan perubahan masa. Semoga ketegasan undang-undang akan dapat membendung jenayah alam sekitar dari terus meningkat.

Alam sekitar yang sihat akan menyumbang kepada kesejahteraan hidup masyarakat. Oleh yang demikian, kerajaan seharusnya memperkasakan alam sekitar dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat sebagai agenda penting negara.

 

Oleh:

Prof. Madya Dr. Haryati Shafii,

Fakulti Pengurusan Teknologi Dan Perniagaan,UTHM.

Categories
Rencana

RELATED ARTICLE