Pandemik Covid-19: UTHM terima sumbangan peribadi TMJ dan Menteri KPT

Batu Pahat, 23 Mac – Ketika penularan Covid-19 memasuki gelombang kedua melanda negara, Universiti  Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini terus menerima sumbangan daripada pihak yang prihatin terhadap...

Batu Pahat, 23 Mac – Ketika penularan Covid-19 memasuki gelombang kedua melanda negara, Universiti  Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini terus menerima sumbangan daripada pihak yang prihatin terhadap kebajikan warga kampus.

Terkini, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga merupakan Pro Canselor UTHM telah mengurniakan sumbangan peribadi berjumlah RM50 ribu untuk meringankan beban yang dihadapi oleh pelajar dan keluarga staf UTHM yang terlibat dengan Covid-19.

Sumbangan telah disampaikan oleh Tuan Syed Umar Syed Abdul Rahman, Setiausaha Sulit kepada TMJ kepada Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly, Naib Canselor UTHM bertempat di Bilik Gerakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor, Bangunan Dato’ Ibrahim Munsyi Kota Iskandar.

Pihak universiti merafak setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Johor di atas pengurniaan sumbangan tersebut.

Pada hari yang sama juga, YB Dato’ Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi yang juga merupakan Ahli Parlimen Parit Sulong, Batu Pahat Johor tampil menghulur sumbangan berbentuk air mineral dan bahan keperluan asas untuk diberikan kepada para pelajar Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail dan Kolej Kediaman Tun Fatimah di kampus induk Parit Raja.

Naib Canselor yang turut hadir di lokasi menyambut baik sumbangan bantuan untuk diagihkan kepada kedua-dua kolej tersebut. Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad dan Pegawai-pegawai kanan universiti.

Dalam pertemuan singkat itu, Dato’ Dr. Noraini juga berkesempatan mendengar taklimat berkaitan perkembangan Covid-19 di UTHM oleh Jawatankuasa Pengurusan Krisis Universiti.

Datuk Wahid mewakili universiti turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Menteri Pengajian Tinggi atas keprihatinan mereka meringankan beban untuk kesejahteraan warga kampus di Parit Raja.

Categories
Berita Umumcovid-19Latest News

RELATED ARTICLE