MUAR – Bersempena dengan pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 pada 5 Mac lalu, Fakulti Sains dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengambil inisiatif melaksanakan aktiviti mempromosi program akademik peringkat prasiswazah bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Alauddin Riayat Shah I, Pagoh, Muar.

Aktiviti promosi ini adalah bagi memberi peluang kepada lepasan SPM untuk mendapatkan maklumat terperinci berkaitan program pengajian yang ditawarkan di peringkat Ijazah Sarjana Muda di FAST, UTHM.

Melalui aktiviti ini, mereka berpeluang berjumpa secara terus dengan wakil pensyarah untuk mendapatkan maklumat berkaitan peluang melanjutkan pengajian, pembiayaan pendidikan dan syarat-syarat kelayakan yang diperlukan.

Penganjuran aktiviti sebegini juga bertujuan membantu para lepasan SPM terutamanya pelajar aliran Sains yang berpotensi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda setelah selesai program Matrikulasi Sains ataupun Diploma Sains.

Menurut Pensyarah FAST, Dr. Hamizah Mohd Safuan pelaksanaan aktiviti ini diharap dapat memberi maanfaat kepada semua pelajar lepasan SPM di Pagoh, khususnya pelajar lepasan SPM SMK Sultan Alauddin Riayat Shah I untuk terus memilih bidang sains selari dengan harapan negara untuk menghasilkan lebih banyak tenaga pakar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Turut serta, Dr. Isaudin Ismail dari Jabatan Sains Matematik dan Statistik, Profesor Madya Ts. Dr. Noor Azura Awang, Dr. Afishah Alias, Dr. Amira Saryati Ameruddin serta Dr. Fahmiruddin Esa dari Jabatan Fizik dan Kimia, FAST.