400 pelajar terima bantuan program ‘Foodbank YAPIEM 1.0 : Ready to Eat (RTE)’

400 pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) daripada keluarga yang berpendapatan B40 menerima bantuan makanan melalui program ‘Foodbank YAPIEM 1.0 : Ready to Eat (RTE)’ pada 12 Mac...
Y4

400 pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) daripada keluarga yang berpendapatan B40 menerima bantuan makanan melalui program ‘Foodbank YAPIEM 1.0 : Ready to Eat (RTE)’ pada 12 Mac lalu.

Pemberian bantuan kebajikan pada kali ini merupakan inisiatif pihak Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP), UTHM.

Sebagai pembukaan untuk tahun baharu ini, pengedaran sumbangan berbentuk makanan basah dan kering telah dilaksanakan buat pertama kali di Bangunan Gunasama Kegiatan Pelajar dan Kafeteria Berpusat.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad hadir menyempurnakan majlis pelancarannya sekali gus mengetuai pemberian sumbangan kepada pelajar yang terpilih.

Hadir sama Pengurus Negeri Pusat Pentadbiran YaPEIM Negeri (PPYN) Johor, Tajul Ariffin Harun dan Pegawai YADIM Negeri Johor, Mohamad Ridzuan Shaban selaku Wakil Pengarah YADIM Negeri Johor. Turut serta dalam program tersebut Pengarah Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP), Hawa Omar, Pengarah-Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan Majlis Perwakilan Pelajar UTHM.

Menurut Tajul, inisiatif ini merupakan bukti komitmen YaPEIM untuk melestarikan aktiviti amal jariah dan kebajikan, mencakupi setiap lapisan rakyat di segenap pelusuk negara.

“Pihak YaPIEM juga akan meneruskan usaha sebegini untuk beberapa siri bantuan lain di universiti ini.

“Selain aktiviti kebajikan dan amal jariah, YaPEIM juga terus komited dalam membantu masyarakat melalui aktiviti sosial perniagaan terutamanya dalam perkhidmatan Ar-Rahnu yang menyediakan kemudahan pinjaman bagi pelbagai tujuan yang produktif seperti pendidikan dan perniagaan,” tambah beliau.

UTHM berbesar hati dan amat menyokong usaha pihak YaPIEM dalam memakmurkan kehidupan pelajar khususnya golongan keluarga berpendapatan B40 yang amat memerlukan bantuan dan sokongan untuk meneruskan kehidupan yang lebih bermakna.

Categories
Hal Ehwal PelajarSosial , Kebajikan dan Masyarakat

RELATED ARTICLE