Perkongsian ilmu dalam kalangan ahli akademik dengan masyarakat semakin mendapat perhatian dalam usaha merapatkan jurang di antara dua kumpulan komuniti ini. Usaha ini merupakan salah satu aktiviti yang signifikan dan mempunyai impak yang tersendiri kepada kedua-dua pihak. Kepakaran dalam pelbagai bidang yang dimiliki oleh ahli akademik menjadi ‘juadah’ utama perkongsian yang mana ia boleh dilaksanakan melalui pelbagai medium dan pendekatan.

Perkongsian ilmu secara bersemuka melalui kursus, perbincangan dua hala, seminar dan sebagainya adalah antara kaedah yang biasa dilaksanakan. Selain dari itu, ia juga boleh dikongsi dan diterjemah melalui penulisan-penulisan artikel di dada akhbar, jurnal, prosiding, modul dan poster yang mana boleh diperolehi dalam pelbagai bentuk sama ada bercetak mahupun digital.

Dalam dunia teknologi yang serba maju, proses perkongsian ilmu berlaku melalui kaedah yang lebih inovatif dan efektif. Kewujudan aplikasi-aplikasi teknologi terkini seperti email, whatsapp, telegram, Instagram, youtube dan facebook menjadikan maklumat ilmiah ini mudah disampaikan di mana sahaja tanpa sempadan dan hanya di hujung jari.

Namun begitu berlainan pula dengan saya, Profesor Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom dari Jabatan Pengurusan Pembinaan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang kini sedang giat menjalankan perkongsian ilmu melalui program yang dipanggil Tour Knowledge Sharing.  Program ini adalah usaha bagi membantu mahasiswa-mahasiswa dari pelbagai negara yang mengikuti pengajian di peringkat pascasiswazah (Doktor Falsafah) di Melbourne, Australia.

Di sini saya yang juga sedang menjalankan kajian di peringkat Posdoktoral di salah sebuah universiti di Melbourne mempunyai alasan tersendiri untuk memilih kaedah ‘bersemuka’ (face-to-face) sebagai medium utama dalam menyampaikan formula dan tip-tip penulisan tesis berkesan dengan mahasiswa di peringkat antarabangsa.

Program Tour Knowledge Sharing mempunyai keistimewaan tersendiri, yang mana ia merupakan sesi perkongsian yang dijalankan selama dua jam serta padat dengan pengisian berkaitan formula penulisan tesis berkesan, kaedah diagnosis tesis yang efektif, dan juga tip untuk memenuhi kehendak pemeriksa luar. Perkongsian yang bertajuk Keep It Simple Scholar (KISS) ini telah berjaya menarik minat mahasiswa di beberapa universiti tersohor di Melbourne antaranya Universiti of Melbourne dan RMIT University. KISS dipilih sebagai tajuk utama kerana ia sangat mudah dan ‘catchy’ dalam menarik minat mahasiswa masa kini untuk menyertai sesi perkongsian ilmu sebegini.

Sesi perkongsian KISS secara percuma ini bermula dengan perkongsian pengalaman secara tidak langsung dengan salah seorang pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di peringkat pascasiswazah (Doktor Falsafah) di RMIT University. Bermula dari detik itu, idea spontan yang hanya bermula dengan sesi ‘one-to-one’ telah berkembang menjadi satu sesi perkongsian yang melibatkan bilangan mahasiswa yang lebih besar. Yang menariknya, program KISS ini juga mendapat sokongan sepenuhnya dari pihak pengurusan fakulti.

Selain daripada itu, sesi ini turut memberi peluang dan membuka ruang kepada mahasiswa untuk melontarkan pandangan, pengalaman mahupun idea sepanjang menjalankan kajian dan penulisan tesis mereka. Pendekatan perbincangan dua hala secara santai yang menjadi tarikan utama dalam sesi perkongsian ini telah mendapat respon yang positif dalam kalangan mahasiswa. Kaedah refleksi di sepanjang sesi dengan berkongsi kisah benar cabaran-cabaran dalam penulisan tesis dan solusi terbaik juga turut memberikan impak yang positif kepada program KISS ini.

Kebanyakan mahasiswa yang hadir memberikan respon dan berpendapat pengisian KISS terutamanya formula-formula dan tip yang dikongsikan sangat mudah difahami serta sangat membantu dalam proses penyiapan tesis. Tambahan dari itu juga, segelintir daripada mahasiswa turut menyatakan pandangan mengenai penyampaian secara bersahaja diselang seli dengan unsur-unsur jenaka dan sedikit suntikan motivasi menjadikan sesi perkongsian ini suatu program perkongsian yang luar biasa, kreatif dan tidak membosankan.

Berbekalkan kata  pepatah ‘tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima’, pelbagai perancangan masa hadapan telah saya susun untuk memperkasakan lagi program Tour Knowledge Sharing yang juga dianggap sebagai salah satu cabang khidmat sosial kepada masyarakat. Antaranya ialah dengan memperkasakan jalinan di peringkat antarabangsa melalui kerjasama bersama Perunding Bahasa Inggeris Profesional dari Brisbane yang juga merupakan salah seorang pencetus idea KISS ini.

Selain dari itu juga, usaha perkongsian melalui buku panduan penulisan tesis berkesan, modul ringkas penulisan tesis, dan artikel berkaitan tip penulisan tesis berkesan bakal dihasilkan dalam masa terdekat. Yang mana bahan ilmiah ini boleh dijadikan panduan kepada sesiapa sahaja yang sedang ataupun merancang untuk mengikuti pengajian di peringkat pascasiswazah ini.

Perlaksanaan program Tour Knowledge Sharing ini yang diusahakan oleh saya anak jati Johor  juga dilihat mampu memberi impak positif bukan sahaja kepada mahasiswa, namun ia juga membantu dalam usaha meningkatkan penglibatan, jalinan dan jaringan kerjasama antarabangsa di antara UTHM dengan universiti-universiti terbaik dunia. Secara tidak langsung, melalui platfom perkongsian ilmu sebegini dilihat mampu melonjakkan serta meningkatkan lagi visibiliti UTHM khususnya dan Kementerian Pendidikan Malaysia amnya di persada dunia.

 

oleh:

Profesor Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom

Jabatan Pengurusan Pembinaan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia