Bagi meningkatkan lagi kesedaran masyarakat setempat berkaitan keselamatan jalan raya, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil inisiatif untuk berkongsi ilmu bersama kira-kira 10 ribu pelajar sekolah sekitar negeri Johor melalui program yang dinamakan Kidsafe UTHM.

Program yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Munzilah Md Rohani ini diadakan kali pertama pada tahun 2011 dan dikendalikan sepenuhnya oleh staf akademik Kluster Kejuruteraan Infrastruktur dan Geomatik, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB).

Menurut Dr. Munzilah, program ini pada mulanya hanya melibatkan kanak-kanak pra sekolah, kemudian diperluaskan lagi pelaksanaannya dengan melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah kebangsaan sekitar negeri Johor.

Tambah beliau lagi, pada awalnya program ini dilaksanakan dengan inisiatif dan sumber kewangan daripada para pensyarah FKAAB, namun kini Kidsafe UTHM mula mendapat bantuan dan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk pihak industri, masyarakat dan juga ahli politik.

Hasilnya pada tahun ini, lebih 3000 naskah buku Panduan Keselamatan Jalan Raya telah berjaya diterbitkan untuk diedarkan secara percuma kepada pelajar sekolah.

“Oleh kerana Batu Pahat antara kawasan yang mencatatkan jumlah kemalangan maut paling tinggi di negara ini, pihak kami terpanggil untuk membantu meningkatkan kesedaran masyarakat bagi mengatasi masalah tersebut,” jelas beliau.

Untuk rekod, Kidsafe pernah terpilih sebagai program UTHM berimpak tinggi 2018 selain terpilih sebagai projek komuniti berimpak tinggi di bawah Inisiatif Universiti for Society (U4S) oleh Universiti Awam.

Rentetan itu, satu majlis Pelancaran Program Kidsafe 2020 dan Buku Panduan Keselamatan Jalan Raya untuk Pelajar Sekolah telah diadakan pada 17 Februari lalu bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.

Majlis pelancaran anjuran Smart Driving Research Center (SDRC) tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Sri Gading, YB Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh, yang juga merupakan penyumbang terbesar bagi pelaksanaan program ini.

Hadir sama ke majlis tersebut, Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat), Profesor Ts. Dr. Ahmad Tarmizi  Abdul Karim selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM, wakil-wakil sekolah dan industri serta Pegawai-pegawai Kanan universiti.