“Pekerja hebat, rezeki berkat” – Datuk Wahid

Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly menyeru warga kerja universiti untuk menjadi pekerja yang hebat dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah secara...

Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly menyeru warga kerja universiti untuk menjadi pekerja yang hebat dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah secara berintegriti dan profesional.

Menurut beliau selain mempunyai pasukan takbir urus yang baik, UTHM juga perlu mempunyai staf yang mempunyai ciri-ciri tersebut bagi meningkatkan lagi kecekapan operasi.

“Sempena tahun baharu ini marilah kita meningkatkan produktiviti kerja masing-masing dengan mengingatkan diri bahawa rezeki yang kita dapat adalah hasil daripada komitmen dan usaha yang telah kita berikan kepada universiti. Oleh itu, berikanlah rezeki yang berkat kepada keluarga kita.”

Datuk Wahid berkata demikian ketika berucap di Majlis Perutusan Naib Canselor yang berlangsung pada 29 Januari lalu bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk. Beliau dalam amanatnya turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada warga kampus yang bertungkus-lumus dalam menjayakan Key Performance Indicator (KPI) UTHM 2019.

Menurut beliau UTHM hampir berjaya melepasi kesemua sasaran yang ditetapkan oleh universiti pada tahun lalu. Justeru itu, beliau berharap untuk tahun 2020 ini warga kampus dapat mencapai 100 peratus sasaran KPI yang ditetapkan dengan cara bekerja bersama-sama secara berkumpulan untuk mendapat hasil yang lebih optimum.

Datuk Wahid dalam ucapan amanatnya juga membincangkan tiga cabaran utama yang perlu diberi fokus  untuk KPI 2020 ini iaitu kecekapan operasi, pemantapan jenama dan juga kelestarian kewangan.

Selain itu, beliau turut berkongsi beberapa polisi yang perlu diamalkan oleh setiap staf untuk menjadi pekerja yang lebih cemerlang. Antara pesanan yang dikongsi beliau staf perlu bijak menguruskan masa, sentiasa menanamkan sikap “Sayangi UTHM,” mengamalkan gaya hidup sihat untuk kesihatan yang lebih baik, prihatin dengan golongan orang kurang upaya (OKU), melestarikan sumber serta menghindari rasuah (no gift policy).

Datuk Wahid juga mengetengahkan beberapa perkara untuk diberi perhatian khusus antaranya universiti perlu berusaha untuk memperkasakan lagi peranan UTHM dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Antara saranan beliau adalah dengan menjadikan universiti ini sebagai Pusat Pengaplikasian Ilmu Teknikal dan Peningkatan Kemahiran. Selain itu, bagi memperkasakan lagi program akademik sedia ada, beliau mencadangkan UTHM menghasilkan elektif baharu yang boleh digunapakai oleh semua program, melibatkan data analitik & Internet of Things (IoT), manakala untuk bidang kemahiran pula fokus perlu diberi kepada program UpSkilling dan Reskilling.

Katanya juga UTHM pada tahun 2020 ini akan memberi fokus kepada beberapa perkara baharu dalam akademik, penyelidikan dan pengantarabangsaan antaranya dengan memperkenalkan kursus atas talian (E-Pembelajaran) dan kursus profesional jangka pendek, program perantisan, kursus profesional minyak dan gas serta usaha untuk menerokai pasaran timur tengah.

Majlis diserikan dengan pelancaran dua buah buku iaitu Buku Dian Tadbir Siri 1 dan Citra 2019 Perpustakaan Tunku Tun Aminah. Turut dilancarkan buku “Sasaran Kerja Tahunan Universiti 2020” yang diterbitkan oleh Pejabat Perancangan Strategik dan Pengurusan Risiko (PSPR). Buku ini akan menjadi rujukan barisan kepimpinan universiti bagi merangka aktiviti bagi mencapai sasaran tahunan universiti.

Untuk rekod, majlis perutusan yang diadakan saban tahun ini merupakan platform untuk Naib Canselor membentangkan refleksi pencapaian tahun sebelumnya dan perancangan serta KPI universiti bagi tahun semasa untuk dikongsikan kepada seluruh warga. Medium ini juga digunakan untuk Naib Canselor membentangkan isu-isu dan amalan terbaik yang boleh diterapkan bagi mendorong kepada kejayaan pelaksanaan dan pencapaian KPI 2020.

 

 

 

 

 

 

Categories
Berita UmumLatest News

RELATED ARTICLE