Tahukah anda bahawa sisa makanan merupakan penyumbang terbesar daripada keseluruhan komposisi penjanaan sisa pepejal setiap hari di Malaysia iaitu sebanyak 45% penjanaan? Pernahkah terlintas di fikiran bahawa sisa makanan tersebut sebenarnya boleh dikitar semula dan diolah menjadi baja kompos organik dan seterusnya dapat memanjangkan hayat tapak pelupusan sampah di Malaysia.

Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), statistik pada 2017 menunjukkan bahawa jumlah sisa makanan yang dihasilkan oleh penduduk Malaysia hampir mencapai 15,000 tan setiap hari dan angka ini dijangka akan meningkat kepada 30,000 tan menjelang tahun 2020 adalah disebabkan oleh populasi penduduk yang kian bertambah. Secara purata, kajian yang dilakukan di 36 buah sekolah sekitar daerah Simpang Renggam menunjukkan setiap sekolah telah menghasilkan sisa makanan minimum sebanyak 2 kilogram (kg) dan boleh mencecah sebanyak 7 kg sehari.

Oleh yang demikian, masalah pengurusan sisa makanan ini telah mendorong Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk mengambil langkah inisiatif memperkenalkan teknik pengkomposan kaedah yang dikenali sebagai ‘Takakura Home Method’ (THM) dalam kalangan pelajar sekolah di daerah Simpang Rengam di bawah Geran Program Pemindahan Ilmu (KTP) iaitu program pemindahan ilmu daripada universiti kepada komuniti.

Kaedah Pengkomposan Takakura ini merupakan satu kaedah inovatif yang telah diperkenalkan oleh penyelidik dari Jepun, Profesor Koji Takakura iaitu Timbalan Pengarah Wakamatsu Environment Research Institute sejak tahun 2002 untuk mengitar semula sampah makanan menjadi baja kompos. Kaedah THM ini telah diperluas penggunaannya di banyak negara membangun seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Nepal. Malah, kaedah pengkomposan ini semakin mendapat perhatian yang meluas dalam kalangan penduduk di Malaysia.

Menurut Ketua penyelidik, Profesor Madya Ts. Dr. Aeslina Abdul Kadir pengkomposan Takakura Home Method ini dipilih untuk diketengahkan di peringkat sekolah kerana beberapa faktor antaranya kaedah ini lebih mudah dan sesuai untuk menguruskan sisa makanan dalam skala yang kecil jika dibandingkan dengan kaedah pengkomposan yang lain. Malah kaedah THM ini memerlukan kos permulaan yang rendah, mudah dipraktikkan dan sisa makanan juga boleh terurai dalam jangka masa hanya dua hingga empat minggu sahaja. Projek ini turut dibantu oleh tujuh  pensyarah dan dua pelatih siswazah antaranya Dr. Noor Amira Sarani dan Nur Fatin Nabila Hissham daripada FKAAS.

Kaedah THM yang terdiri daripada empat langkah mudah yang mana baja kompos boleh dihasilkan iaitu dengan menyediakan bekas simpanan yang berongga udara, penyediaan larutan penapaian, penyediaan medium pengurai dan terakhir sekali proses mencampurkan larutan penapaian dan medium pengurai bagi memulakan proses pengkomposan berlaku.

Penyediaan larutan penapaian hanya memerlukan bahan-bahan yang mudah didapati seperti tempe, taucu, yogurt atau yis kering (ibu roti) beserta gula merah dan air. Larutan ini perlu diperam selama lima hari sebelum boleh dicampurkan bersama medium pengurai seperti tanah, sekam padi, dedak, habuk kayu, hampas kelapa atau daun kering.

Larutan penapaian inilah yang akan membantu menghasilkan mikroorganisma yang bertindak sebagai agen pengurai untuk memulakan proses pengkomposan. Bahan campuran ini perlu disimpan di dalam bekas yang tertutup dan berongga selama seminggu sebelum sisa makanan dimasukkan ke dalam bakul kompos. Sisa makanan akan dilihat mula terurai sedikit demi sedikit sekiranya proses pengkomposan dipraktikkan dengan cara yang betul.

Bukan itu sahaja, modal permulaan untuk menghasilkan baja kompos dengan menggunakan Kaedah THM ini sangat rendah, hanya sekitar RM4 sahaja ianya boleh menghasilkan baja organik sendiri yang jauh lebih murah berbanding dengan harga baja kimia yang dijual di pasaran.

Objektif utama program pemindahan ilmu ini adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan pelajar terhadap pengurusan sisa makanan yang dihasilkan di kantin sekolah dan pada masa yang sama ia dapat memberikan pendedahan awal serta latihan penyediaan baja kompos organik dengan menggunakan sisa makanan.

“Apa yang diharapkan program sebegini dapat memberi peluang kepada para pelajar untuk mempraktikkan kemahiran yang diperolehi secara berterusan sebagai amalan dalam menjalani kehidupan seharian mereka, di samping membantu usaha mengurangkan bebanan sisa makanan di tapak pelupusan sampah yang kian meruncing. Ibarat kata pepatah lama, “melentur buluh biarlah dari rebungnya,” kata Dr. Aeslina.

oleh:

Profesor Madya Ts. Dr. Aeslina binti Abdul Kadir

Fakulti kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)