Pelajar UTHM teruja melihat Gerhana Matahari Anulus

TANJUNG PIAI, 26 Dis – Ketika seluruh negara termasuk Malaysia menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Anulus atau cincin, seramai 18 pelajar Universiti Tun Hussein Onn, Malaysia (UTHM) daripada pelbagai fakulti...

TANJUNG PIAI, 26 Dis – Ketika seluruh negara termasuk Malaysia menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Anulus atau cincin, seramai 18 pelajar Universiti Tun Hussein Onn, Malaysia (UTHM) daripada pelbagai fakulti turut tidak melepaskan peluang merakamkan detik bersejarah tersebut.

Tanjung Piai, Pontian Johor dan Serian Sarawak merupakan lokasi terbaik untuk melihat gerhana ini. Fenomena Gerhana Matahari Anulus atau cincin separa yang bermula jam 11 pagi dan tamat pada jam 4 petang berlaku secara penuh di Tanjung Piai pada jam 1:20 hingga 1:23 petang sahaja.

Untuk rekod, gerhana sebelum ini berlaku pada 1998 dan hanya akan berlaku lagi pada tahun 2042 akan datang. Peluang untuk melihat fenomena ini adalah sesuatu yang tidak harus dilepaskan.

Penyelaras program Eksplorasi Gerhana Matahari Anulus, Profesor Madya Sr. Ts Dr. Mustaffa Anjang Ahmad berharap peluang ini dapat meningkatkan lagi ilmu pengetahuan pelajar dalam bidang astronomi. Ini kerana kejadian ini sebenarnya berkait rapat dengan bidang pembelajaran pelajar di UTHM khususnya berkenaan dengan alam sekitar dan kejadian alam.

Lebih kurang 1000 pengunjung mengunjungi Tanjung Piai, dilengkapi dengan pelbagai jenis alat mencerap matahari yang digunakan oleh individu dan agensi untuk mencerap gerhana.

“Bagi pelajar UTHM, mereka menggunakan peralatan sedia ada yang digunakan untuk tujuan pengukuran iaitu ‘total station’ bagi mencerap gerhana dengan bantuan sun filter dan diagonal eyepiece.

“Pengunjung juga boleh menggunakan kaca mata khas yang diberikan secara percuma bagi melihat fenomena itu. Mereka dilarang melihat ke matahari secara terus kerana akan merosakkan mata,” jelas Dr. Mustaffa.

Tambah beliau lagi, bukan sahaja penyelidik dan ahli sains yang kelihatan di beberapa tempat pencerapan gerhana matahari itu, tetapi ramai juga ibu bapa mengambil peluang memperkenalkan fenomena berkenaan kepada anak-anak mereka.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Planeterium Negara yang sudi menjemput UTHM untuk turut sama menyertai program yang dianjurkan oleh mereka di Tanjung Piai,” katanya.

Sementara itu, Saidatul Nursyuhadah salah seorang pelajar FKAAS turut berkongsi keseronokannya apabila pertama kali dapat menyaksikan sendiri fenomena ini. Menurutnya, kajian lapangan yang dianjurkan pihak UTHM ini sangat memberikan pengalaman berharga kepada dirinya dan rakan-rakan.

Categories
Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar

RELATED ARTICLE