PAGOH – Bagi memupuk amalan kitar semula dalam kalangan penuntut kampus, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh dengan kerjasama SWM Environment Sdn. Bhd. telah menganjurkan program ‘Save The Tree, Save The Knowledge’ bermula 10 hingga 15 Januari lalu.

Program yang diketuai oleh Muhammad Faris Abdul Hadi, selaku Timbalan Yang Dipertua 2 MPP yang dijalankan secara santai ini mendapat sambutan yang baik daripada penuntut kampus.

Program ini dianjurkan bertujuan untuk menguruskan bahan-bahan pembelajaran terpakai dengan baik selain mengelakkan bahan-bahan rujukan tersebut dibuang begitu sahaja ke dalam tong sampah. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk menerapkan amalan kitar semula serta kepentingan memelihara kehijauan bumi dalam kalangan penuntut kampus.

Menurut Muhammad Faris, program ini dilaksanakan dengan cara mengumpul buku-buku terpakai, kertas, kotak, besi, tin logam dan plastik di setiap blok Kolej Kediaman Pagoh setiap hari.

“Apabila melihat jumlah bilangan buku dan kertas yang disumbangkan oleh para pelajar kian meningkat saban hari, kami percaya program ini berupaya mendapat sokongan dan perhatian daripada ramai pihak, makanya program ini dilanjutkan sehingga 16 Januari 2020,” kata Muhammad Faris.

Program yang berjalan selama hampir satu minggu ini berjaya mengumpulkan sejumlah 1180 kg buku dan kertas terpakai. Kesemua buku dan kertas terpakai ini dipungut oleh pihak SWM Environment pada 17 Januari lalu.

“Selain buku dan kertas pihak kami juga berjaya mengumpulkan 10 kilogram (kg) kotak, 4kg plastik, 22kg besi dan 22kg tin logam, yang menjadikan jumlah keseluruhan bagi kutipan tersebut mencecah 1216kg,” tambahnya lagi.

Hasil penjualan barang-barang terpakai ini akan digunakan untuk kebajikan para pelajar UTHM Pagoh sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan bantuan yang telah mereka berikan.

“Diharap penganjuran program sebegini dapat membuka mata penuntut kampus tentang manfaat amalan kitar semula ini, dengan berpaksikan slogan ‘someone’s trash is other’s treasure,” tambah Muhammad Faris.