Mengenali Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam, Nabi Akhir Zaman

Oleh Dr. Hisyam Abdul Rahman,FKEE Para pembaca semoga Allah subhanallah wa taala merahmati kita semua, ketahuilah bahawa cinta kepada Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah sebuah kewajipan bagi...

Oleh Dr. Hisyam Abdul Rahman,FKEE

Para pembaca semoga Allah subhanallah wa taala merahmati kita semua, ketahuilah bahawa cinta kepada Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah sebuah kewajipan bagi setiap peribadi muslim. Seseorang boleh dipersoalkan akan keislamannya, ketika tidak memiliki kecintaan kepada baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Allah subhanallah wa taala berfirman (ertinya):

“Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri.” (Al-Ahzab: 6)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda (ertinya):

“Demi Dzat yang jiwaku berada di tanganNya, tidak beriman salah seorang dari kalian hingga menjadikan aku orang yang paling dicintainya, melebihi kecintaannya kepada orang tuanya, anaknya dan manusia seluruhnya.” (HR al-Bukhari no. 15 & Muslim no. 44)

Kecintaan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam itu tidak akan terwujud kecuali dengan mengenali baginda secara lebih mendalam. Sehingga wajib bagi kita untuk mengenali baginda dan perjalanan hidup baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Mengenal Peribadi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam

Baginda adalah Abul Qasim Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muththalib (nama aslinya Syaibah) bin Hasyim (nama aslinya ‘Amr) bin ‘Abdu Manaf (nama aslinya al-Mughirah) bin Qushay (nama aslinya Zaid) bin Kilab (nama aslinya Hakim/’Urwah)  bin Murrah bin Ka’ab bin Lu`ay bin Ghalib bin Fihr (dialah yang dijuluki dengan Quraisy) bin Malik bin an-Nadhr (nama aslinya Qais, jumhur ahli nasab mengatakan dialah Quraisy) bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah (nama aslinya ‘Amir) bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin ’Adnan.‘Adnan termasuk anak cucu Nabi ‘Ismail bin ‘Ibrahim ’alaihis salaam menurut kesepakatan ulama.

Sedangkan ibu baginda adalah Aminah bintu Wahb bin ‘Abdu Manaf bin Zuhrah bin Kilab. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam lahir di permukiman Bani Hasyim di kota Mekah, di pagi hari Isnin pada 12 Rabi’ul Awwal di Tahun Gajah, atau bertepatan dengan 22 April 571M. Selama 53 tahun baginda tinggal di sana, 40 tahun sebelum kenabian dan 13 tahun setelah kenabian. Lalu baginda hijrah ke Madinah menetap dan melanjutkan dakwah tauhid selama 10 tahun, hingga wafat pada waktu dhuha hari Isnin 12 Rabi’ul Awwal tahun 11 Hijriyah pada usia 63 tahun atau 63 tahun 4 hari.

Peribadi baginda dikenal dengan sifat kejujuran, amanah, menjaga kehormatan dan dengan berbagai budi pekerti yang luhur lainnya, sejak sebelum baginda diangkat menjadi nabi dan rasul. Hingga baginda mendapat julukan al-Amin yang ertinya boleh dipercaya. Adapun setelah Islam kemuliaan sifat atau peribadi baginda semakin tinggi sebagaimana yang dikhabarkan oleh Aisyah.

Dari Sa’ad bin Hisyam bin ‘Amir, dia berkata (ertinya):

“Aku mendatangi Aisyah maka aku berkata, “Wahai Ummul Mukminin khabarkanlah kepadaku tentang akhlak Rasulullah.” Maka beliau berkata, “Akhlak baginda adalah Al-Qur’an, tidakkah kau membaca Al-Qur’an?” (HR Ahmad)

Rumah Tangga Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam

Baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam memiliki 11 orang isteri. Mereka yang dikenali dengan panggilan Ummahatul Mukminin (ibu orang-orang yang beriman) adalah:

  1. Khadijah bintu Khuwailid, dari beliaulah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam memiliki keturunan kecuali Ibrahim.
  2. Aisyah bintu Abu Bakr (Shiddiqah bintu Shiddiq).
  3. Saudah bintu Zam’ah al-Amiriyyah.
  4. Hafshah bintu ‘Umar bin al-Khaththab.
  5. Zainab bintu Khuzaimah al-Hilaliyyah (Ummul Masakin).
  6. Ummu Salamah Hindun bintu Abi Umayyah al-Makhzumiyyah.
  7. Zainab bintu Jahsyin al-Asadiyyah.
  8. Juwairiyyah bintu al-Harits al-Khuza’iyyah.
  9. Ummu Habibah Ramlah bintu Abi Sufyan.
  10. Shafiyyah bintu Huyay bin Akhthab.
  11. Maimunah bintu al-Harits al-Hilaliyyah.

Khadijah bintu Khuwailid dan Zainab bintu Khuzaimah keduanya meninggal semasa hidup Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. Adapun yang lainnya wafat sepeninggal baginda.

Anak-Anak Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam

Al-Imam Ibnu Katsir menegaskan, “Tidak ada khilaf bahawa seluruh anak-anak baginda berasal dari Khadijah bintu Khuwailid, kecuali Ibrahim dari Mariyah bintu Syam’un al-Qibthiyyah”. Mereka adalah:

  1. Al-Qasim, anak lelaki pertama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dan dengannya baginda ber-kunyah, iaitu Abul Qasim. Dia wafat ketika usia 2 tahun.
  2. Zainab, anak perempuan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam yang sulung.
  3. Ruqayyah, dinikahkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dengan sahabat Utsman bin Affan.
  4. Ummu Kultsum, dinikahkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dengan sahabat Utsman bin Affan, setelah wafatnya Ruqayyah, sehingga Utsman dijoloki Dzun Nurain iaitu pemilik dua cahaya.
  5. Fathimah, anak perempuan baginda yang paling bongsu dan paling baginda cintai. Dia adalah pemimpin wanita penghuni syurga. Isteri sahabat yang mulia Ali bin Abi Thalib. Ibu kepada dua pemimpin pemuda penghuni syurga iaitu al-Hasan dan al-Husain.
  6. Abdullah, anak lelaki terakhir Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dari Khadijah, meninggal ketika kecil.
  7. Ibrahim, lahir di Madinah dari hamba sahaya baginda iaitu Mariyah bintu Syam’un al-Qibthiyyah, meninggal ketika kecil.

Keutamaan-Keutamaan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam

  1. Sayyidun Naas (Pemimpin Manusia) dan Sayyidul Mursalin (Pemimpin Para Rasul).

 Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda (ertinya):

“Saya pemimpin manusia pada hari kiamat.” (HR al-Bukhari no. 4712 & Muslim no. 194)

  1. Khataman Nabiyyin (Penutup Para Nabi)

Allah subhanallah wa taala berfirman (ertinya):

“Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi dan adalah Allah Maha mengetahui segala sesuatu.” (Al-Ahzab:40)

  1. Pemberi syafaat pada hari kiamat dengan izin Allah subhanallah wa taala.
  2. Manusia pertama yang mengetuk pintu syurga sebagaimana dalam Sahih Muslim dari Anas bin Malik dan umatnya adalah umat yang pertama masuk ke syurga, sebagaimana disebutkan di dalam Sahih Muslim dari Abu Hurairah.

Masih banyak lagi keutamaan-keutamaan baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam, lihat Syarh Lum’atul I’tiqad karya asy-Syaikh al-Utsaimin hal.79-81, Syarhu al-Aqidah al-Wasithiyyah karya asy-Syaikh Shalih al Fauzan hal.106-109, juga dalam as-Siyar karya al-Imam adz-Dzahabi 27/448-452.

Mengenali Risalah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam diangkat menjadi nabi ketika berusia 40 tahun dengan turunnya surah Al-Alaq, ayat 1-5. Baginda diangkat menjadi rasul dengan turunnya surah Al-Muddatstsir, ayat 1-7 dengan suatu misi memperingatkan manusia dari syirik dan menyeru kepada tauhid.

Baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah penutup para nabi yang diutus oleh Allah subhanallah wa taala untuk seluruh manusia bahkan jin, berdakwah selama 23 tahun yang inti risalah baginda dan juga risalah para rasul ’alaihimus salaam adalah tauhid.

Allah subhanallah wa taala berfirman (ertinya):

“Dan sesungguhnya kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): ‘Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah thaghut itu’.” (An-Nahl: 36)

Awal dakwah baginda adalah tauhid (sebagaimana kisah baginda di Bukit Safa) dan akhir dakwah baginda juga tauhid, bahkan wasiat terakhir baginda menjelang kewafatan baginda adalah tentang tauhid.

Dari Aisyah dan Ibnu ‘Abbas, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda di akhir hayat baginda (ertinya):

“Laknat Allah atas Yahudi dan Nasara yang menjadikan kubur-kubur nabi mereka sebagai masjid (tempat beribadah-pen).” (HR al-Bukhari 1/118-119, Muslim 2/67).

Risalah Islam yang dibawa oleh baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam telah sempurna, tidak perlu kepada penambahan ataupun pengurangan, baginda telah menunaikan amanah, telah menyampaikan risalah, telah menasihati umat, tidaklah ada sebuah kebaikan dan keburukan melainkan baginda telah memberi penjelasan dan memperingatkan umat darinya.

Allah subhanallah wa taala berfirman (ertinya):

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu dan telah Aku redha Islam itu menjadi agama bagimu.” (Al-Ma`idah: 3)

Menunaikan Hak-Hak Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam

Di antara hak-hak baginda ialah kita mentaati setiap perintah-perintahnya, membenarkan dan meyakini berita-berita yang baginda khabarkan baik itu dari peristiwa-peristiwa dahulu atau pada ketika ini mahupun dari peristiwa-peristiwa yang akan datang, menjauhi segala yang telah dilarang oleh baginda dan tidak beribadah kepada Allah subhanallah wa taala kecuali dengan cara yang telah dicontohkan oleh baginda.

Begitu pula memuliakan Ahlul Bayt baginda yang termasuk di dalamnya isteri-isteri baginda. Mereka adalah isteri nabi di dunia dan di akhirat, Ummahatul Mukminin (ibunya orang-orang yang beriman). Maka mencela dan menghina mereka dikhuatirkan boleh membuat seseorang itu terkeluar dari Islam.

Allah subhanallah wa taala berfirman (ertinya):

“Dan isteri-isterinya (Rasul) adalah ibu-ibu mereka (orang-orang beriman).” (Al-Ahzab: 6)

Dan yang tidak kalah pentingnya adalah memuliakan para sahabat baginda, tidak mencela mereka, redha kepada mereka semuanya. Melalui merekalah agama ini sampai kepada kita, mereka menjadi saksi ketika turunnya wahyu, murid Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam secara langsung. Berkeyakinan, berfahaman, beribadah, beramal dan bermuamalah di bawah penyeliaan kekasih mereka iaitu Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam. Maka mencela mereka, tidak redha kepada mereka, mendustakan mereka adalah kefasikan dan dikhuatirkan boleh membuat seseorang itu terkeluar dari Islam. Bahkan termasuk mendustakan Allah subhanallah wa taala dan RasulNya yang memuji dan merekomendasi mereka.

Allah subhanallah wa taala berfirman (ertinya):

“Orang-orang yang terdahulu lagi yang paling awal (memeluk Islam) dari golongan Muhajirin dan Ansar serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik. Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah serta Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya, mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (At-Taubah: 100)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda (ertinya):

“Janganlah kalian mencela sahabatku, demi Dzat yang jiwaku berada di tanganNya, jika seandainya ada di antara kalian yang berinfak emas sebesar gunung uhud maka tidak akan mampu menyamai (infak mereka) meskipun dengan satu mud (seukuran dua telepak tangan –pen.) atau setengahnya.” (HR al-Bukhari no.3673 & Muslim no.2540).

Dari penjelasan di atas dapatlah kita ambil pelajaran, bahawa peribadi baginda adalah peribadi yang agung, mulia, terbaik dari segala sisinya. Mudah-mudahan Allah subhanallah wa taala memberikan kemudahan kepada kita semua untuk semakin mencintai baginda dan memenuhi hak-hak baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam. Amin..

Wallahu a’lamu bish shawab..

 

 

Categories
Rencana

RELATED ARTICLE