Legasi memainkan peranan yang penting dalam memastikan kesinambungan pasukan dan kejayaan sukan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus berkembang. Ianya boleh terhasil melalui pelbagai cara dengan melibatkan peranan dan usahasama pelbagai pihak. Rekod sebelum ini menyaksikan UTHM telah berjaya mencipta nama yang besar dalam sukan mendayung. Nama ikon Zulfadli Rozali seringkali menjadi sebutan apabila umum memperkatakan perihal sukan mendayung di universiti ini. Kejayaan dan pencapaiannya juga turut dipaparkan di papan iklan utama universiti bagi memberi motivasi kepada atlet dan penggiat sukan di UTHM untuk terus berusaha menghasilkan permata baru sehebat beliau.

            UTHM merupakan universiti berteraskan teknikal yang memberikan fokus kepada pengangkutan dan teknologi. Justeru itu, ianya merupakan satu cabaran kepada Pusat Sukan Universiti (PSU) untuk menghasilkan atlet berbanding universiti yang menawarkan bidang pengajian berkaitan sukan. Menjadikan ianya sebagai satu cabaran, pelbagai perancangan dan usaha telah dijalankan bagi memastikan legasi sukan di UTHM ini terus berkembang.

            Pelaksanaan program perkongsian inspirasi kejayaan bersama alumni sukan dilihat sebagai satu platform yang baik untuk meningkatkan usaha ini. Penganjuran Kem Sukan 2019 lalu telah menjemput Puan Siti Hawa yang merupakan alumni sukan UTHM untuk berkongsi dengan para atlet bagaimana penglibatannya dalam sukan sofbol di UTHM suatu ketika dahulu telah menjadikannya seorang usahawan hari ini. Beliau yang mulanya menjalankan jualan kecil-kecilan bagi mencari dana pasukan, akhirnya mengambil keputusan untuk lebih serius dalam bidang keusahawanan. Dalam perkongsian tersebut, beliau juga turut membuka peluang kepada atlet-atlet UTHM yang berminat untuk menjalankan jualan percetakan sebagai platform bagi menjana pendapatan pasukan. Penjanaan pendapatan ini mampu membantu pasukan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pembangunan seperti penganjuran dan penyertaan kejohanan selain menambah duit poket pelajar.

            Selain itu, hubungan kerjasama yang baik antara alumni dan universiti juga penting. Perkongsian kepakaran dan pengalaman ini juga membantu dalam memastikan legasi sukan UTHM ini dapat diperkasakan. Penganjuran kelas berkaitan merangka program latihan yang dikongsikan oleh Dr. Zulfadli Rozali kepada pasukan UTHM merupakan usaha dan inisiatif yang baik. Penglibatan pasukan dalam slot ini meningkat dari semasa ke semasa dan ini membuktikan inspirasi kejayaan dan pencapaian alumni amatlah membantu dalam peningkatan pasukan. Penekanan kepada perkara asas dibentuk terlebih dahulu sebelum mencapai kejayaan yang lebih besar. Tidak dinafikan juga, beliau merupakan faktor pendorong kejayaan pasukan mendayung UTHM yang kini di bawah bimbingan beliau. Kepakaran dan pengalaman seperti inilah yang universiti perlukan dari alumni sebagai penyuntik motivasi untuk meneruskan kecemerlangan sukan UTHM.

Pengalaman mengikuti Program Mobiliti Sukan Antarabangsa UTHM 2019 ke Universitas Negeri Jakarta (UNJ) juga telah membuka mata khususnya warga PSU. Rata-rata, alumni UNJ akan kembali ke UNJ untuk menawarkan khidmat sebagai jurulatih atau sukarelawan bagi program pembangunan sukan di UNJ. Ianya seolah-olah sebati pada diri setiap graduannya. Selain itu, para alumni juga akan terlibat dalam program pemindahan ilmu. Ianya digunakan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan di antara universiti dan masyarakat melalui penganjuran aktiviti sukan. Ruang ini juga digunakan bagi menjelaskan kepada masyarakat terutamanya anak kecil yang masih bersekolah bahawa sukan dan akademik boleh mengubah kehidupan diri dan keluarga. Benar, universiti merupakan penjana sumber manusia yang berkualiti.

            Program pencarian bakat baru juga terus giat dijalankan oleh pasukan sukan UTHM. Namun, ianya masih belum cukup untuk meyakinkan pelajar bahawa penglibatan mereka dalam sukan akan memberikan impak yang positif. Hanya sebilangan kecil pelajar yang bersedia untuk keluar dari zon selesa dan mencuba sesuatu yang baru sepanjang menjalani pengajian di UTHM. Mungkin juga kelebihan bergelar atlet di UTHM tidak semewah yang diharapkan. Percubaan merekrut atlet baharu sempena Karnival Sukan Minggu Transformasi Mahasiswa (MTM) sedikit sebanyak telah memberikan impak yang positif kepada pembangunan pasukan. Poster, video dan info berkaitan sukan masing-masing telah dipaparkan bagi menjelaskan kepada pelajar-pelajar baharu tentang kepelbagaian sukan yang ada di UTHM. Insentif daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Skim Penghargaan Pelajar juga turut dikongsikan bagi menarik minat pelajar baru untuk mewakili universiti dalam sukan yang diminati. Biarpun bukan mudah tetapi tiada yang mustahil untuk mencipta kejayaan dalam bidang sukan.

            Penganjuran program dalaman seperti Kejohanan Sukan Antara Fakulti (SAF) dan Kejohanan Sukan Antara Kolej Kediaman (SUKOL) merupakan usaha berterusan yang dilakukan bagi memperkasakan legasi sukan di UTHM. Penganjuran kedua-dua kejohanan ini dijalankan secara penggiliran bagi memastikan peranan fakulti dan kolej kediaman seimbang. Ianya bagi memastikan prestij sesebuah kejohanan itu terjaga selain menggunakan peruntukan kewangan dengan baik.  Sistem penggiliran juga digunakan bagi memberikan peluang kepada para pelajar untuk terlibat dalam pengurusan pertandingan. Sebagai contoh, Kolej Kediaman Tun Fatimah merupakan tuan rumah bagi penganjuran pada edisi SUKOL 2019 dan penggiliran seterusnya telah diberikan kepada Kolej Kediaman Kampus Pagoh 3 bagi SUKOL 2021. Penganjuran program-program dalaman seperti ini juga secara tidak langsung membantu meningkatkan kemahiran insaniah pelajar. Ianya tidak seperti orientasi ilmu akademik yang kebiasaannya berkisar di dalam kelas dan kertas-kertas ujian. Tetapi, mereka melalui satu pendidikan yang harus didalami dan dirasai sendiri oleh meraka.  Selain itu, pembudayaan sukan di UTHM juga akan berlaku secara serentak apabila setiap pasukan kolej mahupun fakulti menjalani latihan pasukan sebagai persediaan menghadapi kejohanan SUKOL dan SAF.

            Sumber kewangan merupakan elemen penting dalam memastikan sesebuah program atau aktiviti berjalan dengan baik. Tidak dinafikan juga, dana kewangan yang baik mampu menghasilkan pasukan yang berjaya. Dalam konteks ini, kita dapat melihat dengan jelas apabila Pasukan Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melalui siri kejayaan dan pencapaian yang luar biasa. Pasukan JDT merupakan milik rasmi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan muncul sebagai pasukan paling mahal di Liga Malaysia dengan nilai sekitar RM250 juta hingga RM300 juta atas fasiliti moden yang dimiliki oleh kelab dengan himpunan pemain bintang dalam skuad serta bilangan pengikut dua juta orang di media sosial. Ternyata, sumber kewangan yang baik mampu mencipta kejayaan yang luar biasa. Dari konteks ini seharusnya untuk memantapkan pasukan sukan di UTHM, usaha bagi mendapatkan penajaan perlu diusahakan. Bagi percubaan di peringkat awal ini, cadangan memilih sukan-sukan yang telah mencapai kejayaan boleh diberikan fokus utama terlebih dahulu. Penyediaan kertas projek penajaan juga perlu diusahakan secara bersama dengan golongan pakar di universiti agar dapat diterjemahkan dengan jelas kepada penaja yang berpontensi untuk menaja pasukan UTHM.

             Kesimpulannya, memperkasakan legasi sukan di UTHM ini memerlukan usaha yang strategik daripada pelbagai pihak. Kejayaan sukan UTHM telah melalui pelbagai evolusi yang membawa kepada perkembangan yang positif. Seharusnya kita perlu berbangga dengan setiap kejayaan yang tercipta dan berusaha memastikan kelangsungan kejayaan ini di masa hadapan.

Artikel oleh:

Farhawahidah Ahmad Puad, Pegawai Belia dan Sukan Kanan, Pusat Sukan Universiti, UTHM