Nurul Atiqah Rohaizar, pelajar Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dinobatkan sebagai Tokoh Siswa UTHM 2018/2019 ketika berlangsungnya Majlis Anugerah Inspirasi Mahasiswa (AIM) pada 14 Disember lalu bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, kampus induk.

Setelah bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelawan sejak tahun pertama pengajian lagi, anak kelahiran Miri, Sarawak ini turut memenangi beberapa anugerah lain seperti Anugerah Pemimpin Sukarelawan (Terbuka), Anugerah Program Terbaik (Khidmat Masyarakat) dan Anugerah Kelab Terbaik.

Di sebalik kejayaan tersebut Atiqah,23 merupakan pelajar orang kurang upaya (OKU) kerana mengalami masalah pendengaran sejak berumur tujuh tahun lagi.

Namun begitu, anak bongsu daripada empat beradik ini tidak menjadikan kekurangan tersebut sebagai penghalang untuknya menceburkan diri dalam program-program kesukarelawan tanpa mengabaikan tanggungjawab utama sebagai mahasiswa.

“Walaupun saya mungkin tidak memegang sebarang jawatan lagi dalam Kelab Sukarelawan selepas ini, saya akan terus membantu kelab dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti kesukarelawan untuk manfaat warga kampus dan juga masyarakat,” katanya.

Untuk rekod, Anugerah Inspirasi Mahasiswa (AIM) yang dulunya dikenali sebagai Majlis Anugerah Pelajar(MAP) diadakan bertujuan untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada para pelajar dan penganjuran program-program yang berimpak tinggi.

Menariknya pada tahun ini AIM menampilkan sedikit kelainan apabila turut memberi pengiktirafan kepada staf-staf universiti yang komited terutama staf-staf di bawah Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA).