BATU PAHAT- Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menganjurkan Seminar Technology Update 2019 buat kali kedua yang berlangsung selama dua hari bermula 17 hingga 18 November bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, semalam.

Seminar yang bertemakan ‘Teknologi Pendidikan Digital’ ini merupakan hasil kerjasama antara Pusat Pembelajaran Atas Talian Tahap Global (CGOL) dan UTHM Technology serta sokongan padu daripada pihak prinsipal industri.

Seminar ini juga turut menyaksikan sesi penyerahan dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTHM dengan Serba Dinamik IT Solution Sdn. Bhd. dan SNS Network (M) Sdn. Bhd. serta LoI dengan Lenovo Technology Sdn. Bhd.

Majlis perasmian seminar tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Malaysia, Ts. Dr. Mohammad Naim Yaakub pada 17 November lalu.

Menurut Mohammad Naim, pihak universiti perlu melaksanakan pembelajaran yang bersifat Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) kepada para pelajar seiring dengan perkembangan semasa.

“Kita harus melahirkan pelajar yang mempunyai empat kemahiran PAK-21 iaitu kemahiran berkolaboratif, kemahiran berkomunikasi dan pemikiran yang kritis dan kreatif atau 4C,” katanya.

Tambahnya lagi, PAK-21 menjadi salah satu platform baharu bagi melahirkan pelajar yang sedia berhadapan dengan realiti kehidupan yang sebenar terutama kehidupan di alam pekerjaan.

“Kita mahukan pelajar yang bukan sekadar ulat buku, bijak membaca dan menulis jawapan di atas kertas peperiksaan, namun kita juga mahukan pelajar yang sentiasa bersedia dengan segala cabaran yang mendatang di kemudian hari,” jelasnya.

Turut hadir Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM, Ts. Dr. Ismail Abdul Rahman dan Pengarah CGOL, Zainal Abidin Sayadi.

Turut diadakan sesi perkongsian ilmu dan pameran teknologi pendidikan digital, sambil dimeriahkan dengan kehadiran dan gerai jualan Food Truck.