Pemberian bantuan kebajikan mahasiswa menerusi program ‘Food Bank Siswa’ Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diteruskan lagi untuk fasa ketiga bagi tahun 2019 yang melibatkan seramai 200 pelajar dalam kalangan keluarga yang berpendapatan B40.

Pengedaran sumbangan berbentuk makanan telah dilaksanakan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) hari ini, yang diketuai oleh Puan Hawa Omar. Turut serta dalam tugasan tersebut, Pengarah-Pengarah HEPA, Pegawai-Pegawai PHEP, Majlis Perwakilan Pelajar dan Jawatankuasa Protem Gerakan Pengguna Mahasiswa UTHM.

Untuk rekod, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum ini menyasarkan 20,000 mahasiswa dalam keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) menerima bantuan menerusi program Food Bank Siswa Malaysia menjelang hujung tahun ini. Sehingga kini, seramai 580 pelajar UTHM telah menerima manfaatnya.

Dalam memastikan program bantuan ini dapat berjalan dengan lancar, PHEP selaku pengelola program amat mengalu-alukan sumbangan dari mana-mana pihak yang bermurah hati untuk menderma kepada Food Bank Siswa UTHM.