KUALA LUMPUR- Sekumpulan pelajar tahun empat jurusan Sarjana Muda Sains (Statistik Industri) dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meraih tempat kedua dan ketiga ketika menyertai Pertandingan UTM Razak Datathon 2019 bertempat di Menara Razak Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) pada 16 hingga 18 Oktober lalu.

Program anjuran Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, UTMKL yang julung kali diadakan ini berjaya menarik penyertaan sebanyak 38 pasukan terdiri daripada 114 mahasiswa dari lima institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Pertandingan tersebut mampu memberi pendedahan serta melatih para peserta dalam menjalankan analisis secara kritikal ke atas data dalam masa yang singkat. Selain itu, pertandingan ini juga memperkenalkan perisian InstaBI dalam menvisualisasikan analisis yang telah diproses.

Menurut pensyarah FAST, Ts. Dr. Shuhaida Ismail selaku pegawai pengiring, pasukan UTHM perlu bersaing dengan peserta lain yang majoritinya hebat-hebat belaka sekali gus menjadikan pertandingan tersebut agak mencabar.

“Dalam pertandingan ini, peserta bukan sahaja bersaing dalam kalangan pelajar sarjana muda sahaja malah dengan pelajar sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD.),” katanya.

Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah telah diadakan pada 18 Oktober 2019 bertempat di Dewan Seminar BATC UTMKL.  Keputusan pertandingan menyaksikan pasukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merangkul Johan, manakala UTHM meraih tempat kedua dan ketiga dan pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) meraih hadiah utama.

Turut hadir ke majlis tersebut, tetamu-tetamu industri dari AIR ASIA, DATAMICRON dan MDEC yang merupakan penaja utama pertandingan.