MTUN laksana program jerayawara, promosi program Ijazah Sarjana Muda Teknologi

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama Malaysian Technical University Network (MTUN) terus komited memperkenal dan melaksanakan program baharunya iaitu Sarjana Muda Teknologi khusus untuk pelajar daripada aliran lepasan...
C43I5055

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama Malaysian Technical University Network (MTUN) terus komited memperkenal dan melaksanakan program baharunya iaitu Sarjana Muda Teknologi khusus untuk pelajar daripada aliran lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).

Program baharu yang mendapat pengiktirafan MQA dan persijilan badan profesional MBOT ini melibatkan 10 program yang menawarkan program berasaskan teknologi di dalam bidang Penyejukan dan Penyamanan Udara, Kimpalan, Pemesinan, Pembinaan Bangunan, Perkhidmatan Makanan, Minyak dan Gas, Penyelengaraan Sistem Elektrik dan Sistem Automasi Elektronik, Automotif serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Semua program ini akan memulakan sesi kemasukan secara besar-besaran di semua MTUN pada tahun depan iaitu kemasukan pengambilan September 2020.

Bagi memperkenalkan program baharu ini, pihak MTUN telah merancang untuk menjalankan satu program jerayawara bagi mempromosi, menyebar luas dan mengukuhkan jaringan kerjasama antara industridi dalam mahupun luar negara.

Jerayawara ini juga diadakan untuk mempromosikan laluan bagi graduan bidang kemahiran di Malaysia ke peringkat universiti menerusi kerjasama MTUN, di samping  memperkenalkan program baharu ini kepada wakil Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA), Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) dan wakil industri.

Selain itu penganjurannya juga bertujuan untuk memperkasakan lagi TVET dengan menggalakkan kerjasama bersama industri terutamanya dalam pelaksanaan Work Based Learning (WBL) iaitu selama satu tahun di industri.

Justeru itu, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan, UTHM telah meneruskan program jerayawara Zon Selatan ini bagi Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi MTUN 2019 20 November lalu bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk. Ini adalah kesinambungan program jerayawara di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) (Zon Tengah) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) (Zon Utara) dan akan diteruskan nanti oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP) (Zon Timur).

Majlis pelancaran jerayawara ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato’ Kamel Mohamad. Beliau dalam ucapannya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pihak MTUN kerana turut sama membantu kerajaan dalam merealisasikan agenda TVET negara.

“Melalui inisiatif pemerkasaan TVET ini, graduan DVM, DKM dan DLKM berpeluang untuk melebarkan lagi kemahiran dan pengetahuan mereka,” katanya.

Beliau juga sempat berpesan kepada semua penuntut universiti di bawah program ini agar turut sama berusaha mengangkat martabat TVET sebagai aliran pendidikan perdana dengan cara menyumbang kepakaran masing-masing dan menjadi ’penyelesai masalah’ kepada masyarakat setelah bergraduasi kelak.

Hadir sama ke majlis tersebut, Naib Canselor UTHM, Profesor DatukTs. Dr. Wahid Razzaly, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), ProfesorTs. Dr. Ismail Abdul Rahman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi MTUN, wakil MTUN serta pegawai kanan universiti.

Turut berlangsung, penyerahan dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara UTHM dan pihak industri sebagai tanda permulaan kerjasama dalam bidang masing-masing. Antara industri yang terlibat dalam kerjasama tersebut ialah The Malaysian Food & Beverage Executives Association, Rafique Construction, EEW Malaysia Sdn. Bhd., GPIBS Berhad, Carrier (Malaysia) Sdn. Bhd., Dunham-Bush Industries Sdn. Bhd., Prihoda Malaysia Sdn. Bhd. dan Binaan Desjaya Sdn. Bhd.

 

 

 

Categories
AkademikPendidikan Teknikal Vokasional

RELATED ARTICLE