BATU PAHAT- Bagi merancakkan lagi aktiviti penyelidikan dalam bidang kejuruteraan lalulintas dan “Artificial Intelligence (AI)” di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) telah melancarkan makmal baharunya iaitu Makmal UTHM – Sena Traffic Systems bertempat di Blok QB, Bangunan FKEE pada 14 November lalu.

Majlis pelancaran Makmal UTHM – Sena Traffic Systems tersebut disempurnakan oleh Ir. Danial Ong Tze Herng, Pengurus Besar Sena Traffic System Sdn. Bhd (SENA) sambal disaksikan oleh Professor Dr. Ahmad Tarmizi Abd Karim, Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat).

Hadir sama ke majlis itu, Profesor Madya Dr. Rosli Omar, Dekan FKEE; Mohd Rizal Anis, wakil Majlis Perbandaran Kulai;  David Lim, Ketua Pegawai Operasi (Kejuruteraan); Then Chee Guey, Ketua Pegawai Operasi (Projek dan Pemasaran) dan Datuk Leong Siew Mun, Professor Pelawat dan Penyandang Kursi Sena – UTHM Smart City.

Profesor Dr. Ahmad Tarmizi mewakili UTHM merakamkan setingi-tinggi penghargaan kepada SENA kerana kolaborasi seperti ini dapat membuka peluang kepada para penyelidik di UTHM untuk menyumbangkan idea dan tenaga dalam pembangunan sistem aplikasi pintar.

Tambah beliau, dengan kerjasama strategik SENA, proses pemindahan teknologi terkini dari industri ke universiti dapat dijalankan secara langsung.

Majlis pelancaran makmal ini juga menyaksikan penyampaian sumbangan berupa peralatan elektronik kawalan lalulintas  daripada pihak SENA kepada UTHM bagi tujuan latihan akademik dan juga penyelidikan berimpak tinggi.

Tambahan lagi, kerjasama ini juga turut memberi peluang kepada tenaga akademik, penyelidik dan pelajar UTHM untuk menjalankan latihan sangkutan industri di pejabat SENA, Kuala Lumpur.

Ir. Danial Ong Tze Herng pula dalam ucapannya melahirkan rasa terima kasih kerana UTHM mahu bekerjasama dengan syarikat ini bagi membangunkan lebih banyak produk inovasi yang boleh diterima pakai dan dikomersialkan di pasaran global.

“Kolaborasi ini akan memberi faedah kepada SENA yang mana penyelidik dan pelajar dapat terlibat sama dalam penyelidikan yang dilakukan.

“Kemahiran jurutera SENA juga boleh terus dipertingkatkan sesuai dengan permintaan semasa melalui kursus pendek yang boleh diberikan oleh tenaga akademik UTHM,” tambahnya.

Beliau dan tetamu jemputan juga turut meluangkan masa untuk melihat pameran poster oleh penerima geran penyelidikan SENA.

Sementara itu, satu sesi forum bertajuk “Towards A Future Generation of Intelligent Transportation System” turut diadakan pada sebelah petang hari yang sama bertempat di Fraunhofer IEM Innovation Lab. Forum yang dikendalikan oleh Datuk Leong ini membincangkan tentang masalah kesesakan jalan raya di Malaysia dan kaedah penyelesaian menggunakan teknologi sistem pengangkutan pintar yang digabungkan dengan pelbagai sensor pintar, “Internet of Things (IoT)” dan “Big Data”.

Melalui forum ini para pelajar dan pensyarah telah didedahkan dengan ilmu yang bermanfaat berkenaan sistem pengangkutan pintar serta mengetahui potensi bidang penyelidikan yang berkaitan untuk mempertingkatkan lagi kecekapan sistem pengangkutan negara pada masa hadapan.