KUALA LUMPUR – Pelajar Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalankan dua lawatan industri berasingan ke syarikat MIMOS Berhad dan syarikat Top Glove Corporation Berhad pada 10 November dan 22 November lalu.

Lawatan industri tersebut dilaksanakan bagi memperkasa Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) di universiti serta memberi pendedahan kepada pelajar FAST untuk melihat, memerhati dan merasai sendiri persekitaran di industri.

Sekumpul pelajar tahun tiga Sarjana Muda Sains (Matematik Teknologi) telah mengadakan lawatan ke pusat penyelidikan dan inovasi negara, MIMOS Berhad untuk melihat hasil penyelidikan yang dijalankan di MIMOS bagi tujuan pasaran kebangsaan dan global. Lawatan ini merupakan salah satu aktiviti kursus Topik-Topik Khas dan Isu-isu Semasa (BWA30203).

Semasa lawatan ini, MIMOS telah memberi kursus kepada pelajar bertajuk “Problem Solving – Basic Quality Tools Used in Manufacturing” bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar terhadap konsep-konsep kawalan kualiti semasa pegeluaran sesuatu produk di industri. Di samping itu, pelajar turut diberikan Sijil kursus professional yang dikeluarkan oleh MIMOS.

Sementara itu, sekumpulan lagi pelajar FAST jurusan Sarjana Muda Sains (Statistik Industri) telah menyertai lawatan industri ke industri pembuatan getah multinasional iaitu Top Glove Corporation Berhad. Lawatan ini juga merupakan salah satu aktiviti untuk memenuhi keperluan dalam kursus Kawalan Kualiti Industri (BWB31403).

Dalam lawatan tersebut, pelajar telah diberi pendedahan sebenar di industri yang mempunyai pelbagai fungsi merangkumi rekabentuk, pembuatan, pengeluaran, pengujian dan pemasaran. Pada masa yang sama, pelajar berpeluang untuk menganalisa maklumat secara aktif melalui aktiviti bersemuka secara langsung dengan pihak industri.

Hasil daripada lawatan industri tersebut, pelajar mampu meningkatkan kemahiran insaniah dalam diri, kemahiran berkomunikasi, kemahiran pemikiran kritis dan kemahiran moral serta etika profesional.

Untuk rekod universiti, industri ini mempunyai staf dalam kalangan alumni UTHM yang secara tidak langsung bekerjasama secara aktif dalam melatih pelajar-pelajar UTHM menjalani latihan industri.