FAST anjur (STEM) Active Camp,tarik minat pelajar sekolah

PAGOH, Nov – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menganjurkan program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Active Camp selama dua hari satu...
STEM 1

PAGOH, Nov – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menganjurkan program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Active Camp selama dua hari satu malam bertempat di Kolej Kediaman Pelajar, UTHM Kampus Cawangan Pagoh.

Program yang dianjurkan oleh pelajar FAST jurusan Sarjana Muda Sains (Matematik Teknologi) turut mendapat kerjasama pelajar jurusan Teknologi Makanan, Fizik Gunaan, Kepelbagaian Biodiversiti dan Statistik Industri serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Muar.

Program ini adalah sebahagian penaksiran terhadap kursus yang diambil oleh pelajar iaitu Kursus Topik-topik Khas dan Isu-isu Semasa. Dalam program tersebut, pelajar berpeluang memindahkan ilmu dan kemahiran berkaitan STEM kepada komuniti khususnya pelajar-pelajar sekolah.

Sebanyak tujuh sekolah menyertai program ini yang terdiri daripada 32 orang pelajar lepasan Pentaksiran Tingkatan tiga (PT3) melibatkan SMK Bandar Maharani, SMK Bukit Naning, SMKA Maahad Muar, SMK Sungai Abong, SMK Tun Perak, SMA Addiniah dan SMK Dato Amar Diraja.

Pelajar-pelajar yang menyertai program ini akan didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran STEM secara imersif melalui pelbagai aktiviti yang dirancangkan antaranya pembelajaran secara aktif, berkumpulan, demonstrasi sains dan kuiz interaktif. Pada masa yang sama, pelajar-pelajar sekolah juga berpeluang untuk merasai sendiri suasana pembelajaran dan kehidupan sebagai mahasiswa di UTHM.

Sementara itu, hasil soal selidik mendapati pelajar sekolah menunjukkan reaksi yang positif dan berpendapat mereka akan meneruskan minat dan halatuju untuk memilih aliran Sains semasa di tingkatan empat dan seterusnya di peringkat pengajian tinggi.

FAST juga melaksanakan program ini bagi menyahut seruan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik iaitu menjayakan inisiatif Services-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang menggabungkan objektif pembelajaran dengan khidmat komuniti.

Program tersebut disempurnakan oleh Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Daerah Muar, Siti Erma Abu Bakar dan turut dihadiri oleh guru-guru pengiring sekolah yang menyertai.

Categories
Sains Gunaan dan Teknologi

RELATED ARTICLE