UTHM tampil bersama tagline baharu “WE PRODUCE PROFESSIONALS”

Bagi memperkasakan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebagai universiti teknikal yang melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan profesional serta ada nilai kebolehpasaran, tagline “We Produce Professionals” telah dipilih sebagai...
gambar library mercu tanda UTHM

Bagi memperkasakan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebagai universiti teknikal yang melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan profesional serta ada nilai kebolehpasaran, tagline “We Produce Professionals” telah dipilih sebagai tagline baharu universiti sejajar dengan matlamat dan visi penubuhannya di bawah rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN), iaitu untuk melahirkan pakar bertaraf profesional dalam bidang teknikal dan mampu merentasi kehendak global.

Melihat kembali fokus dan visi ketika permulaan penubuhan universiti ini, iaitu  sebagai sebuah universiti teknikal berorientasikan industri dan lebih ‘hands on’, UTHM memainkan peranan penting memastikan bukan sahaja profesional yang dilahirkan mencukupi, malah berkemahiran tinggi sesuai dengan jangkaan pihak industri.

Justeru itu tagline “We Produce Professionals” didapati bertepatan dengan misi universiti untuk melahirkan lebih ramai sumber tenaga mahir dan profesional.

Sinergi tagline baharu “We Produce Professionals” ini juga dilihat sebagai inspirasi ke arah merealisasikan matlamat tersebut, selain ianya merupakan mesej pemasaran yang jelas terhadap halatuju universiti untuk disebarluaskan kepada seluruh masyarakat dan warga universiti.

Janji universiti yang digunapakai di dalam tagline “We Produce Professionals” disokong oleh pengiktirafan program akademik universiti menerusi badan-badan profesional yang diiktiraf. Program pengajian yang ditawarkan oleh UTHM telah dinilai dan diakredit serta mendapat pengiktirafan daripada badan profesional. Oleh yang demikian, tagline ini diyakini mampu menarik lebih ramai lagi bakal mahasiswa memilih untuk mengikuti pengajian di UTHM.

Pengiktirafan program akademik menerusi badan profesional melalui akreditasi dan pengiktirafan daripada badan kelayakan tempatan dan antarabangsa seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Sirim QAS International Sdn. Bhd., Chartered Institute of Buildings (CIOB), City & Guilds, Engineering Accreditation Council  (EAC), Washington Accord Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC) dilihat menyokong lagi promosi atau tagline yang dihebahkan.

Semua kursus yang dijalankan oleh UTHM memiliki keunikan tersendiri yang mana program yang ditawarkan memberi penekanan yang lebih kepada pembelajaran melalui pengalaman (experiential learning) dan komponen kemahiran yang praktikal di samping pengetahuan teori dan profesional.

Pencapaian graduan UTHM juga mengukuhkan lagi promosi tagline baharu ini yang mana semenjak 2002 hingga tahun 2018, UTHM telah melahirkan kira-kira 17,412 jurutera dan 10,867  teknologis untuk negara. Manakala kadar kebolehpasaran graduan UTHM mencatatkan peningkatan memberangsangkan dalam tempoh tiga tahun sejak 2015 hasil pelaksanaan program kebolehpasaran graduan dan aktiviti sokongan yang diberikan oleh universiti ini. Mereka ini mempunyai asas dalam bidang kejuruteraan konvensional iaitu kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik, kejuruteraan mekanikal dan kejuruteraan komputer. Bagi mencapai hasrat melahirkan graduan profesional, UTHM telah mensasarkan akan mempunyai 50 peratus tenaga akademik mempunyai pengalaman industri dan 30 peratus lagi mempunyai kelayakan profesional menjelang tahun 2020.

Promosi “We Produce Professionals” ini juga akan memberi kesedaran dan memotivasikan warga akademik bagi meningkatkan pembangunan diri untuk menjadi tenaga akademik yang memperolehi kelayakan profesional seperti Jurutera Profesional (Ir.), Juruukur Profesional (Sr.), Teknologis (Ts.), Arkitek Profesional (Ar) dan Arkitek Lanskap Profesional (LaR) menerusi badan professional (The Institution of Engineers Malaysia (IEM), Royal Institution of Surveyors Malaysia dan Malaysia Board of Technologists, Lembaga Arkitek Malaysia dan Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) ).

Usaha serta pelaksanaan menghantar para akademia menjalani Program Sangkutan Industri, Cuti Sabatikal dan seumpamanya telah giat dijalankan bagi merealisasikan hasrat universiti. Sehingga kini, UTHM telah mempunyai seramai 305 staf berkelayakan profesional pelbagai bidang.

Pemilihan tagline dalam Bahasa Inggeris “We Produce Professionalsadalah sejajar dengan visi universiti ke arah universiti bertaraf dunia dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi. Oleh yang demikian untuk menjenamakan universiti ini di peringkat global, penggunaan tagline dalam Bahasa Inggeris merupakan mesej yang jelas dan tepat selari dengan identiti serta hala tuju universiti. Ia juga sebagai menyahut seruan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memartabatkan universiti awam ke arah sebuah institusi pengajian tinggi terkemuka dunia seperti Havard University, Oxford University dan Cambridge University.

Justeru, cadangan pemilihan tagline “We Produce Professionals” sebagai tagline baharu UTHM amatlah bertepatan.

Categories
Berita Umum

RELATED ARTICLE