UTHM jayakan Kempen Kesihatan Mata 2019

Batu Pahat – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat bersama Jabatan Oftalmologi, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat telah bekerjasama bagi menjayakan...
IMG-20191010-WA0005

Batu Pahat – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat bersama Jabatan Oftalmologi, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat telah bekerjasama bagi menjayakan Kempen Kesihatan Mata 2019 yang telah bermula sejak bulan April 2019 sehingga 9 Oktober lalu.

Matlamat utama kempen ini adalah dengan memberi perkhidmatan menjalani saringan dan pemeriksaan mata kepada beberapa golongan umur iaitu murid-murid tadika antara umur 4 hingga 6 tahun, pelajar sekolah rendah antara 7 hingga 12 tahun dan warga dewasa/tua yang berpotensi mempunyai penyakit mata.

Objektif lain adalah mengesan jenis-jenis rabun mata ke atas murid-murid sekolah dan pelajar-pelajar UTHM sama ada rabun jauh, rabun dekat atau rabun silau selain memberi ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada guru-guru sekolah, ibu bapa dan masyarakat dalam mengenalpasti tanda-tanda rabun mata murid dan mempromosikan pencegahan kebutaan.

Kempen ini juga diadakan untuk mendedahkan kepentingan pemeriksaan mata dalam kalangan masyarakat terutamanya murid dan pelajar serta memberi khidmat nasihat rawatan dalam menyelesaikan masalah rabun mata dan rabun warna.

Kempen ini bermula dengan penganjuran Seminar dan Pameran Kesedaran Kanta Lekap yang telah diadakan pada 25 April 2019 bertempat di Dewan Kuliah 3, UTHM. Seminar ini dikendalikan oleh Dr. Yanti, pakar Oftalmologi bersama 10 optometris dan 25 staf dari HSNI untuk memberi kesedaran kanta lekap kepada para pelajar UTHM.

Kempen ini diteruskan dengan mengadakan satu Bengkel Pengambilan VA yang diadakan pada 13 Julai 2019 bertempat di Dewan Tunku Mahkota Ismail, UTHM. Bengkel ini dikhususkan kepada para guru dengan tujuan memberi ilmu pengetahuan dan kemahiran bagaimana hendak membuat saringan dan mengesan kerabunan mata.

Seramai 40 guru telah terlibat terdiri daripada empat sekolah rendah Tahfiz sekitar Parit Raja, Batu Pahat iaitu Sekolah Rendah Islam Tahfiz, Sekolah Rendah Islam Hidayah, Sekolah Rendah Tahfiz Integrasi Ibnu Kamari, dan Sekolah Rendah Islam Tahfiz Integrasi termasuk dari 12 tadika PASTI kawasan Sri Gading.

Hasil daripada Bengkel Pengambilan VA, dua program telah dilaksanakan iaitu Saringan dan Pemeriksaan Mata peringkat tadika dan juga sekolah rendah. Program sekolah rendah telah diadakan pada 22 Ogos 2019 bertempat di Sekolah Rendah Tahfiz Integrasi Ibnu Kamari (SeRTIIK) manakala program tadika dengan diberi nama Karnival AVIS dari 12 tadika PASTI cawangan Sri Gading telah diadakan pada 26 September 2019 bertempat di Dewan Al-Farabi, Masjid Sultan Ibrahim, UTHM.

Kempen Kesihatan Mata ini telah menutup tirainya melalui majlis penutup pada 9 Oktober 2019 yang dijalankan di Balai Raya Kampung Bukit Kuari, Parit Raja sempena sambutan Hari Penglihatan Sedunia 2019. Majlis Penutup ini telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Profesor Dato’ Dr Mohd Idrus Mohd Masirin.

Dr. Mohd Idrus dalam ucapannya menyatakan bahawa program seumpama ini adalah sangat baik bagi mewujudkan jalinan kerjasama antara pihak universiti, agensi kerajaan, kelab sukarelawan dan masyarakat kampung.

Turut hadir dalam majlis penutupan ialah Pengarah Program mewakili Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat UTHM, Dr Muhammad Suhaimi Sulong, Pengarah Bersama Program mewakili Jabatan Oftalmologi, HSNI, Puan Syamzariah Mizlan dan Ketua Kampung Bukit Kuari, Tuan Haji Ghafir Jamal Spahat.

Turut sama menjayakan program, Pengarah Program kepada Unit Projek Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Kementerian Pendidikan Malaysia, Bank Rakyat Cawangan Batu Pahat, Mine Optical Centre Batu Pahat, Nusantara Optometrist Parit Raja, Optometri Izan Batu Pahat dan Nadzri Optometrist Batu Pahat.

Categories
Sosial , Kebajikan dan Masyarakat

RELATED ARTICLE