UTHM-Hewlett Packard meterai perjanjian, sumbang peralatan rangkaian makmal bernilai 2.6 juta

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Hewlett Packard (HP) telah memeterai memorandum perjanjian (MoA) pada 8 Ogos lalu, bagi menjalinkan kerjasama dalam bidang teknologi maklumat...
1

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Hewlett Packard (HP) telah memeterai memorandum perjanjian (MoA) pada 8 Ogos lalu, bagi menjalinkan kerjasama dalam bidang teknologi maklumat untuk melahirkan graduan yang mampu memenuhi permintaan pasaran dan cabaran abad ke-21. Kerjasama ini dilaksanakan melalui syarikat subsidiari Hewlett Packard Enterprise (HPE) iaitu Aruba yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat.

Sesi menandatangi perjanjian yang diwakili oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts Dr. Wahid Razzaly dan Pengarah Kanan, Asia Tenggara dan Taiwan HPE Aruba, Justin Chiah turut menyaksikan penyerahan sumbangan ‘in-kind’ daripada syarikat tersebut berbentuk peralatan rangkaian untuk penubuhan Akademi Aruba di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), bernilai RM2.6 juta. Akademi ini menjadi akademi pertama Aruba di wilayah Asia Tenggara dan Taiwan (SEAT).

Perjanjian ini juga bertujuan untuk membantu para pelajar jurusan teknologi maklumat menjalani latihan kemahiran dan pensijilan yang diiktiraf melalui kursus-kursus yang dikendalikan oleh Akademi Aruba, seiring dengan kehendak dan permintaan pasaran.

Program Akademi Aruba akan bertumpu kepada kemahiran rangkaian asas dan pengambilan pelajarnya melalui empat bidang pengkhususan iaitu Mobility, Switching, Security dan Design. Akademi ini akan menawarkan dua program pensijilan iaitu Mobility Associate (ACMA) dan Mobility Professional (ACMP).

Antara kerjasama yang dirancang oleh UTHM-Aruba melalui memorandum perjanjian ini ialah perkongsian kepakaran teknikal berkaitan bidang teknologi maklumat, latihan secara hands on menggunakan peralatan tanpa mengganggu operasi production server sedia ada dan usahasama bagi mewujudkan program kolaborasi penyelidikan berkaitan networking.

Untuk rekod, Syarikat Aruba merupakan syarikat multinasional yang terkenal dalam bidang teknologi komunikasi dan rangkaian. Syarikat ini membekalkan rangkaian selamat dan pintar yang membolehkan pelanggan untuk berkembang maju dan memberikan pengalaman digital yang menakjubkan di era mudah alih, IoT dan moden ini.

Dr. Wahid dalam ucapannya berkata untuk mencapai sasaran universiti revolusi industri 4.0, universiti perlu mengukuhkan kerjasama antara industri-industri teknikal yang terkemuka.

“Salah satu strategi untuk meneroka ke dalam pelbagai aktiviti kolaborasi serta mencapai revolusi industri 4.0 adalah dengan mengukuhkan hubungan antara UTHM dan rakan industri seperti Aruba,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau percaya bahawa kerjasama ini akan menjadi platform untuk menggalakkan lagi perkongsian aktiviti antara industri dan universiti sekali gus akan memberi manfaat kepada pelajar dan ahli akademik.

Sementara itu, menurut Justin Chiah berkata UTHM merupakan universiti pertama yang akan menjalinkan kerjasama bersama HP dalam program pensijilan Akademi Aruba.

“UTHM akan menjadi universiti pertama di Malaysia dan di rantau Asia Tenggara yang menempatkan program pensijilan Akademi Aruba yang mana ianya bukan sahaja melibatkan pelaksanaan teknikal dan aspek sokongan teknologi, namun juga turut memberi tumpuan kepada elemen reka bentuk teras dan seni bina yang menjamin keselamatan rangkaian,” jelasnya.

Turut hadir ke Majlis menandatangani MoA ialah Dekan FSKTM, Ts. Dr. Azizul Azhar Ramli, Pengarah Pusat Teknologi Maklumat, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Farhan Md. Fudzee dan Pengurus Hewlett Packard (M) Sdn. Bhd., Raymond Ooi.

Categories
MoU, MoA dan LoI

RELATED ARTICLE