Istiadat Konvokesyen UTHM Ke-19 menyaksikan penganugerahan Anugerah Profesor Emeritus kepada Profesor Dr. Sulaiman Haji Hassan, Pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Anugerah yang disampaikan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja selaku Pro-Canselor UTHM itu adalah bagi menghargai sumbangan beliau dalam dunia pendidikan tinggi, industri, komuniti dan kepimpinan.

Menyingkap perjalanan kariernya bersama UTHM, Sulaiman merupakan salah seorang daripada pasukan yang bekerja keras membantu kementerian pada masa itu menubuhkan sebuah pusat latihan dikenali sebagai Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP),telah dinaik taraf sebagai UTHM, sebuah universiti awam ke-15 di negara ini.

Sepanjang universiti ini melalui proses menaik taraf, beliau telah diamanahkan untuk memegang beberapa jawatan penting seperti Dekan dan Pengarah Perhubungan Korporat dan Antarabangsa. Paling mengagumkan, beliau merupakan individu yang bertanggungjawab menjadikan UTHM sebagai universiti awam pertama yang menawarkan program Aeronautik sehingga universiti ini mampu melahirkan jurutera profesional dalam bidang masing-masing.

Kepakaran beliau dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan pembuatan telah diiktiraf oleh ramai pihak dan ini menjadikan beliau sangat aktif di dalam dan di luar kampus. Kesibukan dalam dunia akademik juga tidak menghalang beliau untuk aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. Beliau banyak melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan seperti membantu mengagihkan dana kepada golongan miskin selain aktif memberi ceramah kepada masyarakat setempat terutama di sekolah-sekolah.

Jasa dan bakti beliau dalam meningkatkan taraf pendidikan kejuruteraan mekanikal dan pembuatan di UTHM telah pun menjangkau hampir 40 tahun sekali gus melayakkan beliau dianugerahkan dengan gelaran Profesor Emeritus.