BATU PAHAT, 16 Okt – Bagi meneruskan kesinambungan penganjuran program Perarakan Town & Gown pada tahun ini, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) buat kali kedua memilih kawasan Parit Raja sebagai lokasi sambutan bagi mewar-warkan seluruh penduduk di daerah Batu Pahat akan penganjuran Konvokesyen UTHM ke-19.

Penganjuran perarakan yang juga dikenali sebagai ’Communiversity Celebration’ kali ke-11 ini melibatkan penyertaan 18 kontinjen yang terdiri daripada kira-kira 1000 peserta daripada kumpulan pentadbiran, akademik, pelajar, badan beruniform dan jemputan luar.

Penganjuran kali ini turut menampilkan kelainan apabila perarakan tersebut turut disertai kumpulan graduan daripada pelbagai fakulti yang bakal bergraduat pada konvokesyen ke-19 nanti.

Perarakan kontingen yang bermula pada pukul 9.00 malam itu melibatkan pergerakan dari susur keluar Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Sri Gading menuju ke Padang Kawad kampus induk.

Manakala acara kemuncak perarakan pula menyaksikan upacara pembacaan pengisytiharan Konvokesyen ke-19 UTHM oleh Pendaftar, Encik Halim Abdul Rahman dan penyerahan skrol konvokesyen kepada Pegawai Daerah Batu Pahat, Tuan Haji Zulkiflee Abbas.

Hadir sama ke program tersebut, Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, negeri Johor, Tuan Haji Sheikh Umar Bagharib Ali dan Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly.

Untuk rekod, perarakan mengelilingi bandar Batu Pahat mula dianjurkan sejak tahun 2008 bersempena penganjuran Konvokesyen UTHM kali ke-8, sebagai simbolik membuka bandar kepada seluruh masyarakat yang akan mengunjungi Batu Pahat dan UTHM. Namun pada tahun 2018 dan 2019, lokasinya diubah ke Taman Universiti Parit Raja dan UTHM kampus induk bagi memberi publisiti kepada lokasi yang mula dikenali sebagai “Bandar Universiti” ini.

Perarakan pada tahun ini juga terus dijadikan produk pelancongan unik daerah Batu Pahat dan dimasukkan dalam aktiviti pelancongan bagi daerah ini.