MyRIVET bantu Malaysia ke arah negara maju

BATU PAHAT – Penubuhan Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia (MyRIVET) dilihat mampu membantu negara meneroka isu, cabaran dan tren terkini TVET bagi mengarusperdana serta memperkasa bidang ini...
MoU antara MyRIVET dan KRIVET pada 22 September 2019

BATU PAHAT – Penubuhan Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia (MyRIVET) dilihat mampu membantu negara meneroka isu, cabaran dan tren terkini TVET bagi mengarusperdana serta memperkasa bidang ini sebagai pemangkin ekonomi Malaysia.

MyRIVET yang berpusat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kampus Induk  telah ditubuhkan pada 22 Oktober 2018 dan telah dilancarkan pada 18 November 2018 oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik. Institut penyelidikan nasional ini merupakan platform penyelidikan terkini berteraskan bidang Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pelopor MyRIVET, Profesor Emeritus Dr. Jailani Md. Yunos daripada UTHM bersama kumpulan penggerak TVET negara membangunkan institusi penyelidikan yang menjana maklumat dan eviden terkini berlandaskan keperluan modal insan. Sealiran dengan apa yang telah lama diamalkan oleh negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman, Jepun dan Korea, penyelidikan dan pembangunan yang bersistematik dan bersaintifik telah dikenalpasti sebagai alat pengukur yang efektif kepada pemerkasaan pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang sesebuah negara.

Selain itu, penubuhan MyRIVET adalah sejajar dengan wawasan negara iaitu berperanan sebagai entiti dalam merencana aktiviti penyelidikan, pendidikan, konsultansi, latihan serta kolaborasi dengan pemegang taruh TVET dalam dan luar negara bagi memastikan TVET menyumbang kepada penjanaan ekonomi dan peningkatan kesejahteraan rakyat secara inklusif. Pada masa yang sama, MyRIVET merupakan Pusat Sehenti (One-Stop Centre) bagi menjalin hubungan dan kolaborasi penyelidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

MyRIVET merangkumi empat jabatan utama serta satu jabatan sokongan iaitu Analisis Tren dan Data, Penyelidikan, Konsultansi dan Inovasi, Pembangunan Latihan dan Kerjaya, Kerjasama Global serta Pengurusan dan Kewangan

Terdapat lima kluster di bawah penubuhan MyRIVET yang dikhususkan dalam penyelidikan TVET iaitu Polisi dan Piawaian TVET, Kualiti dan Kelayakan TVET, Pembangunan  Kurikulum TVET, Pembangunan Teknologi dan Inovasi, Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Pembangunan Kerjaya serta Sosiologi dan Psikologi Industri.

Secara umumnya, MyRIVET memberi tumpuan penyelidikan kearah pembangunan dan kelestarian TVET bagi keperluan 707 Institusi TVET Awam, 14 Institusi TVET Kerajaan Negeri dan 636 Institusi TVET Swasta.

MyRIVET juga menyediakan sistem sokongan penyelidikan TVET kepada sembilan kementerian iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pertahanan serta Kementerian Dalam Negeri. Sementara itu, MyRIVET turut membantu mana-mana agensi lain seperti pertubuhan bukan kerajaan, negara negara serantau dan antarabangsa dalam bidang pembangunan komuniti dan pembangunan sumber manusia di peringkat nasional dan global.

Demi memastikan penubuhan MyRIVET menyokong usaha kerajaan dalam mencapai status negara maju, strategi jangka masa pendek dan panjang telah dirangka iaitu dengan memperkemaskan hubungan strategik di antara pemegang taruh TVET dan industri, membangunkan pangkalan data berkaitan penyelidikan TVET, menjadi pusat rujukan utama hasil dapatan penyelidikan empirical dan kritikal bagi keperluan dasar-dasar baru berkaitan TVET serta mendapat pengiktirafan sebagai institut penyelidikan TVET yang tersohor di peringkat nasional dan antarabangsa.

Antara aktiviti terkini yang telah dijalankan ke arah strategi berikut adalah Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman  antara MyRIVET dan Korea Research Institute for Vocational Education and Training (KRIVET) pada 22 September 2019 bertempat di UTHM, kampus induk.

MyRIVET ketika ini memberi penumpuan kepada penyelidikan TVET yang melibatkan pembangunan sosio ekonomi kumpulan B40 dan golongan tercicir atau terpinggir supaya golongan ini bersama-sama mendapat manfaat kemakmuran dan pembangunan negara.

Categories
MoU, MoA dan LoI

RELATED ARTICLE