BATU PAHAT – Seramai 513 graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang menerima Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah secara penyelidikan dirai dalam Majlis Pemakaian Hud yang diadakan pada 18 Oktober lalu bertempat di Dewan Tunku Mahkota Ismail, kampus induk.

Majlis yang diadakan buat kali ke sembilan ini menyaksikan para penyelia graduan diberi penghormatan dan pengiktirafan untuk memakaikan hud kepada para graduan di bawah seliaan masing-masing sebagai simbolik kejayaan dan kecemerlangan mereka.

Untuk rekod, majlis kali ini juga menyaksikan seramai 179 graduan pasca siswazah antarabangsa menerima ijazah masing-masing, 118 graduan dianugerahkan ijazah Doktor Falsafah manakala 395 graduan lagi menerima ijazah Sarjana yang mana 118 daripadanya adalah graduan sarjana secara penyelidikan.

Seramai 163 orang pensyarah terlibat dalam penyeliaan pelajar mereka sehingga berjaya menamatkan pengajian dan dianugerahkan ijazah masing-masing dalam Istiadat Konvokesyen ke-19 ini.

Turut hadir ke majlis tersebut, Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad serta Pegawai-pegawai Kanan universiti.