Bagi memperkasakan lagi pemikiran aras tinggi pelajar sekolah, Jabatan Siswazah (JSIS), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), UTHM Kampus Cawangan Pagoh telah menganjurkan Program Jalinan Khidmat Masyarakat & STEM bersama 64 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Naning, Muar pada 3 Oktober lalu.

Menurut pengarah program, Nur Athirah Huzaisham berkata tujuan utama program ini dilaksanakan adalah bagi memupuk minat para pelajar luar bandar terhadap pembelajaran berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Di samping itu, penganjurannya juga untuk meningkatkan lagi motivasi para pelajar yang terlibat menerusi pelaksanaan tujuh modul yang telah direka khas meliputi aspek pemikiran kritikal, kesedaran alam sekitar serta Sains dan Teknologi.

Ketua Jabatan Siswazah FTK, Ts. Dr. Azrin Hani Abdul Rashid merangkap Penasihat Program berkata pihaknya berharap aktiviti bersama komuniti terutamanya pelajar sekolah sebegini dapat dijadikan terapi minda, jiwa dan fizikal kepada pelajar-pelajar UTHM untuk meneruskan kecemerlangan mereka dalam pengajian di samping dapat melahirkan individu yang peka dan seimbang dalam kehidupan.

Penganjuran program ini telah mendapat sokongan padu daripada Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni (PKKA) dan Pusat Pengajian Siswazah (PPS) UTHM. Sebahagian besar barisan fasilitator adalah merupakan alumni UTHM yang kini sedang menyambung pengajian di peringkat pascasiswazah di FTK. Selain itu, penglibatan pelajar dari Kelab Teknologi Kejuruteraan (ETEC) FTK menerusi pameran robotik mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.

Sementara itu, program Jalinan Khidmat Masyarakat dan STEM ini turut mendapat reaksi positif daripada guru-guru serta pelajar-pelajar sekolah terbabit. Pihak sekolah amat berbesar hati dapat melibatkan pelajarnya dalam program sebegini untuk meningkatkan lagi pemikiran aras tinggi masing-masing sekali gus membentuk mereka untuk lebih berdikari dan serba boleh.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Guru Besar SK Bukit Naning, Puan Hjh. Siti Rubiah Mohd Naib. Hadir sama, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan) FTK, Profesor Madya Ts. Dr. Suraya Hani Adnan, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FTK, Ts. Dr. Amirul Syafiq Sadun dan Penasihat Kelab Teknologi Kejuruteraan FTK, Dr. Faiz Asraf Saparudin.