BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) menerima seramai 176 kemasukan pelajar baharu daripada aliran lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM).

Pelajar-pelajar terbabit yang datang daripada pelbagai saluran institusi penyedia TVET di Malaysia akan mengikuti enam program Sarjana Muda Teknologi (Bachelor of Technology – B.Tech) iaitu Sarjana Muda Teknologi Pembinaan Bangunan dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Automasi Elektronik Industri dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Sistem Penyelenggaraan Elektrik dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Kimpalan dengan Kepujian dan Sarjana Muda Teknologi Perkhidmatan Makanan dengan Kepujian.

Menurut Ahli Jawatankuasa Induk Malaysian Technical University Network (MTUN) BTech, Mohd Akmal Rohiat ambilan bagi kemasukan September tahun ini merupakan ambilan sulung daripada pihak FPTV kepada pelajar lepasan DVM dan DKM melalui laluan permohonan atas talian UTHM dan juga permohonan menerusi Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU).

“Pelajar DVM dan DKM ini merupakan pelajar yg memiliki kelebihan dari sudut psikomotor yang lebih terampil kerana sistem pembelajaran dan pengajaran di Kolej Vokasional atau pun institusi penyedia TVET memfokuskan kepada kemahiran di dalam bidang pekerjaan.

“Agenda mentransformasikan TVET yang telah dinyatakan dalam RMK-10, menjadi titik kepada perubahan dalam landskap pendidikan TVET di Malaysia,” ujar beliau.

“Dengan laluan dan artikulasi yang telah dibangunkan oleh MTUN melalui inisiatif pemerkasaan TVET ini, graduan DVM dan DKM ini boleh berpeluang untuk melebarkan kemahiran dan pengetahuan mereka seiring dengan matlamat UTHM melahirkan graduan profesional,” tambahnya.

FPTV akan terus mendokong hasrat kerajaan untuk memberi nafas baharu kepada aliran TVET Malaysia sekali gus mengangkat martabat TVET sebagai aliran pendidikan perdana dan bukan lagi alternatif kelas kedua sebagaimana persepsi negatif sesetengah pihak sebelum ini.