Penganjuran Festival Konvokesyen 2019 (Festkon’19) yang bermula pada 16 hingga 22 Oktober bertempat di Padang Kawad Kampus induk UTHM ini merupakan satu kesinambungan usaha yang dilakukan oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi meraikan para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka di universiti ini.

Festkon yang dianjurkan saban tahun menyediakan platform kepada masyarakat luar untuk berkunjung ke UTHM selain sebagai tanda keprihatinan universiti dalam meningkatkan ikatan ukhwah dan endah antara satu sama lain melalui penganjuran aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Festkon’19, Puan Hawa Omar pelbagai acara menarik diadakan sepanjang tujuh hari festival ini berlangsung antaranya penganjuran pelbagai pertandingan dan sukan, pameran, iklan, promosi dan kempen, forum dan ceramah, klinik,bengkel dan pemindahan ilmu serta pembangunan bakat.

Tambahnya lagi kesemua acara dan program yang dianjurkan melibatkan beberapa golongan sasaran seperti komuniti tempatan dan antarabangsa, industri, kanak-kanak, pelajar sekolah dan juga pelajar universiti.

“Kehadiran artis jemputan dan selebriti tanah air seperti Siti Nordiana, Haqiem Rusli, Ustaz Ebit Liew dan Raihan, Drama Band, Ismail Izzani, Maulana dan Syafinaz dan Azmi Caliph Buskers juga akan menambahkan lagi kemeriahan festival,” jelas Hawa.

Sementara itu, bagi menerapkan budaya keusahawanan, UTHM turut memberi peluang kepada mahasiswa dan masyarakat setempat untuk memasarkan produk dan perkhidmatan masing-masing melalui pembukaan kira-kira 200 lot gerai di tapak festival yang berpusat di Padang Kawad kampus induk. Menariknya festival kali ini juga menyajikan pesta sajian makanan asli Thailand “Original Food Festival” khusus untuk penggemar makanan dari negara gajah putih itu.

Majlis perasmian Feskon’19 pula telah disempurnakan oleh Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Negeri Johor, Tuan Haji Sheikh Umar Bagharib Ali  selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor pada 16 Oktober lalu bertempat di pentas utama tapak festival.

Hadir sama ke majlis tersebut, Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly, Pegawai Daerah Batu Pahat, Tuan Haji Zulkiflee Abbas, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad dan Pendaftar UTHM, Encik Abdul Halim Abdul Rahman.

Turut diadakan pada majlis tersebut, Pelancaran Tabung Kemanusiaan “Syria & Palestin – UTHM Prihatin.” Pelancaran tabung ini adalah sebagai satu usaha universiti untuk melaksanakan tanggungjawab sosialnya dalam membantu masyarakat Islam di kedua-dua negara bergolak itu.