FAST, UTHM jalin kerjasama dengan Universitas Gadjah Mada, Indonesia

PAGOH – Hubungan kerjasama antara Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universitas Gadjah Mada (UGM), Indonesia diteruskan dengan pelaksanaan beberapa aktiviti untuk...
CROP

PAGOH – Hubungan kerjasama antara Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universitas Gadjah Mada (UGM), Indonesia diteruskan dengan pelaksanaan beberapa aktiviti untuk manfaat kedua-dua pihak.

Bagi memastikan aktiviti yang dirancang dapat direalisasikan, FAST telah menerima satu lawatan balas daripada Delegasi Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Am (FMIPA), Universitas Gadjah Mada (UGM), Indonesia pada 2 Oktober lalu.

Delegasi dari UGM ini diketuai oleh Dr. Nurul Hidayat, Wakil Dekan Akademik; Dr. Ari Suparwanto, Ketua Jabatan Matematika; Profesor Dr. Ch. Rini, Ketua Program Studi Matematika; Dr. Abdurrachman, Ketua Program Studi Statistika dan Dr. Danardono, Ketua Program Studi Ilmu Aktuaria.

Untuk rekod, FAST sebelum ini telah memeterai Memorandum of Agreement (MoA) bersama Fakultas Biologi di UGM dan pelbagai aktiviti kerjasama telah pun dijalankan. Antaranya ialah program pertukaran pelajar (mobiliti berkredit inbound dan outbound) sejak tahun 2018, selain staf FAST turut dijemput sebagai penceramah program ilmiah di UGM untuk berkongsi ilmu, kepakaran dan pengalaman bersama warga UGM. Selain bidang akademik, aktiviti penyelidikan juga giat dilaksanakan antara FAST dan Fakultas Biologi, UGM.

FAST juga terus melebarkan hubungan kerjasama antarabangsa dengan FMIPA yang mana kedua-dua pihak ini berkongsi kepakaran bidang yang sama iaitu sains dan teknologi. Program akademik seperti Sarjana Muda Sains (Matematik Teknologi) dengan kepujian dan Sarjana Muda Sains (Statistik Industri) dengan kepujian dari FAST dilihat berpotensi untuk diadakan aktiviti pertukaran pelajar dengan FMIPA melalui program Sarjana Matematika dan Sarjana Statistika.  Sementara itu, FAST turut mengenal pasti kerjasama lain yang boleh dilaksanakan dalam pelbagai bidang termasuk fizik dan kimia.

Menurut Dekan FAST, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa hasil kerjasama ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak terutama dalam bidang akademik.

“Dengan terjalinnya hubungan kerjasama ini, banyak peluang yang diterima oleh kedua-dua pihak meliputi pelbagai aspek seperti akademik, penyelidikan, penganjuran persidangan, penulisan ilmiah konsultasi dan sebagainya pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut berharap kerjasama ini juga dapat memperkasakan lagi bidang sains dan teknologi yang semakin menjadi keutamaan bagi memacu pembangunan masyarakat di Malaysia dan Indonesia.

Categories
MoU, MoA dan LoISains Gunaan dan Teknologi

RELATED ARTICLE