Dato’ (Dr.) Abdul Rahim Ramli, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor telah dianugerahkan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Institusi Diraja) oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ketika berlangsungnya Istiadat Konvokesyen ke-19 pada 19 Oktober 2019.

Penganugerahan tersebut adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan beliau dalam mengangkat martabat institusi Diraja Johor selain sumbangannya kepada pentadbiran negeri dan masyarakat khususnya Bangsa Johor.

Selain menjawat beberapa jawatan penting dalam pentadbiran negeri, anak kelahiran Muar Johor ini merupakan pakar dalam aspek sejarah, protokol dan budaya istana hasil daripada pengalaman selama 50 tahun dalam pengurusan institusi Diraja dan pentadbiran Negeri Johor.

Perkhidmatan yang panjang ini telah membolehkan beliau melalui evolusi budaya dan warisan istana dengan terlibat secara langsung dalam urusan keputeraan Raja, pewarisan takhta, perkahwinan, pemahkotaan dan seterusnya pemilihan serta pemasyhuran sultan khususnya Kesultanan Negeri Johor Moden.

Selain mengangkat martabat institusi Diraja, Abdul Rahim tetap memberi komitmen dan sumbangan kepada masyarakat melalui peranan sebagai Pemegang Amanah bagi Yayasan Temenggong Abdul Rahman Johor dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Johor. Yayasan ini berperanan menyediakan bantuan pendidikan, kemudahan pembelajaran dan meningkatkan kualiti pendidikan kepada pelajar-pelajar sekolah di negeri Johor khususnya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Ekonomi) dari Universiti Malaya ini juga turut menghasilkan beberapa penulisan berkaitan institusi Diraja Johor untuk dijadikan rujukan dan dokumentasi sejarah masyarakat negara ini. Minat membaca dan menulis ini turut membuahkan hasil apabila beliau berjaya memenangi beberapa anugerah seperti Anugerah Perdana (Kategori Buku Warisan Sejarah) dan Buku Umum Terbaik (Kategori Warisan Diraja) di Anugerah Buku Negara.