BATU PAHAT, 21 Okt – Bapa Allahyarham Aqilah Natasha Abdul Ghafar menerima sumbangan Insuran Takaful Kematian bernilai RM13,500 selepas berlangsungnya sidang kelima Istiadat Konvokesyen ke-19 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), hari ini.

Bapa Allahyarham, Abdul Ghafar Atan, 57 menerima sumbangan bagi pihak keluarganya yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Dr. Haji Mohd Sofi Haji Osman, disaksikan oleh Ketua Bahagian Takaful Keluarga Berkelompok Etiqa Family Takaful Berhad, Haji Nazri Abdullah.

Allahyarham Aqilah yang merupakan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik telah meninggal dunia pada 7 September lalu disebabkan masalah Cerebellar Hemorrhage With Hydrocephalus.

Sementara itu kakak Allahyarham, Thuraya Natrah Abdul Ghafar turut menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan kepujian bagi pihak adiknya yang disampaikan oleh Dato’ Dr. Mohd Sofi.

Hadir sama menyaksikan penyerahan sumbangan, Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Dr. Ir. Haji Abdul Rashid Maidin; Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Madya Dr. Rosli Omar.