Istiadat Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke-19 yang berlangsung pada 19, 20 dan 21 Oktober 2019 menyaksikan seramai 4699 orang siswazah menerima sijil masing-masing merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu Ijazah Doktor Falsafah (118), Sarjana (395), Sarjana Muda (3220) dan Diploma (966).

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja selaku Pro-Canselor UTHM telah menyempurnakan sidang pertama istiadat konvokesyen yang berlangsung pada 19 Oktober lalu bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Beberapa anugerah seperti Anugerah DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Canselor, Anugerah Sultan Ibrahim, Anugerah Tan Sri Dato’ Paduka Hajjah Aishah Ghani, Anugerah Hadiah Buku Yayasan UTHM, Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik, Anugerah Khas Alumni (kategori akademik), Anugerah Kecemerlangan Lembaga Jurutera Malaysia, Anugerah UTHM Holdings, Anugerah Koperasi UTHM Berhad dan Anugerah Prihatin Wakaf turut diberikan kepada graduan terpilih.

Sidang dewan istiadat konvokesyen kali ini juga akan menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Institusi Diraja) kepada Yang Berhormat Dato’ Abdul Rahim Ramli bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam mengangkat martabat institusi Diraja Johor selain sumbangannya kepada pentadbiran negeri dan masyarakat khususnya Bangsa Johor.

Selain penganugerahan tersebut, Tunku Pro-Canselor juga berkenan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Profesor Dr. Sulaiman Haji Hassan bagi menghargai penglibatan dan sumbangan beliau dalam dunia pendidikan tinggi, industri, komuniti dan kepimpinan.

Bagi merai graduan dan memeriahkan lagi Konvokesyen UTHM ke-19 kali ini, pelbagai acara sampingan turut diadakan seperti Perarakan Town & Gown kali ke-11, Festival Konvokesyen 2019, Anugerah Naib Canselor, Majlis Pemakaian Hud dan Majlis Makan Malam Alumni.

Dengan berlangsungnya istiadat konvokesyen kali ke-19 ini maka jumlah alumni UTHM akan mencatatkan penambahan menjadikan bilangannya sebanyak 42593 orang.