BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi universiti awam (UA) pertama memiliki akademi penerbangan yang diiktiraf, dikenali sebagai Asia Aeronautical Training Academy (AATA).

Menurut Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly pengiktirafan itu diterima pada 6 September 2019 lalu setelah AATA dianugerahkan Sijil Kelulusan (Certificate of Approval) oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), sekali gus menjadikan AATA sebagai Organisasi Latihan Penerbangan Yang Diiktiraf (ATO-FTO) kelima di Malaysia.

Katanya lagi akademi penerbangan yang kini beribu pejabat di kampus induk UTHM Parit Raja merupakan hasil kerjasama pintar yang dijalinkan melalui entiti komersialnya, UTHM Holding Sdn. Bhd. (UHSB) bersama ATAS Aeronautik Sdn. Bhd. yang bermula sejak Januari lalu. Melalui kerjasama ini, AATA telah diluluskan di bawah Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016, Peraturan 64 yang menawarkan latihan pelesenan penerbangan. Antara latihan yang akan ditawarkan termasuk Private Pilot Licence (PPL) for Aeroplane, Commercial Pilot Licence (CPL) for Aeroplane, Airline Transport Pilot Licence (ATPL) Theoretical Knowledge, Instrument Rating for Aeroplane dan Flight Instructor Course for Aeroplane.

AATA yang diketuai oleh Pengetua, Kapten Syaiful ‘Alam Ismail akan beroperasi di dua lokasi iaitu di kampus induk Parit Raja yang mana penempatannya melibatkan bangunan Perpustakaan Tunku Tun Aminah dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Untuk rekod, pengajian secara pengetahuan teori (Theoretical Knowledge) akan dilaksanakan di kampus induk kerana sehingga hari ini UTHM telah pun menyediakan kemudahan seperti bilik kuliah, ruang rehat eksklusif pelajar, perpustakaan, ruang perbincangan, bilik tenaga pengajar, bilik operasi dan bilik mesyuarat bagi memastikan aktiviti pembelajaran dan pengajaran dapat dijalan secara kondusif.

Manakala Pusat Operasi Penerbangan AATA yang bertempat di Senai pula akan lebih tertumpu kepada latihan penerbangan. Pusat ini juga turut dilengkapi dengan bilik operasi penerbangan, pejabat pengurusan, ruang rehat pelajar, bilik-bilik taklimat utama, hangar pesawat serta pesawat latihan seperti Piper PA28 dan Diamond DA 42.

Wahid menambah penubuhan akademi penerbangan ini adalah sangat bertepatan dengan keperluan industri dan menjadi kunci kejayaan utama kepada kemampanan program aeronautik UTHM yang mula diperkenalkan sejak tahun 2010. Pengiktirafan yang diperolehi dari CAAM ini secara langsung membolehkan AATA membantu Malaysia dalam menstabilkan jurang antara penawaran dan permintaan terhadap juruterbang, terutama di rantau Asia Pasifik yang memerlukan hampir 36 juruterbang sehari.

Penubuhan akademi yang mula diusahakan oleh Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), UTHM ini menjadi salah satu inisiatif dalam memperkukuhkan bidang tujah universiti iaitu bidang pengangkutan.

Sementara itu menurut Dekan FKMP, Profesor Madya Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin penubuhan akademi penerbangan ini mampu menjadi realiti disebabkan usaha komited yang diberikan oleh staf di Jabatan Kejuruteraan Aeronautik yang dipimpini Ts. Dr. Syariful Syafiq Shamsudin, selain hubungan kerjasama erat mereka dengan pihak industri penerbangan tanah air dan antarabangsa selama ini. Ini merupakan langkah yang baik dan tepat dalam menjenama UTHM sebagai the Embry Riddle of the East.