BATU PAHAT- Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima seramai 2568 orang pelajar baharu bagi program Sarjana Muda Semester 1 Sesi 2019/2020 pada hari pertama pendaftaran yang berlangsung pada 1 September lalu bertempat di kampus induk, Parit Raja dan kampus cawangan Pagoh.

Untuk pengambilan kali ini, 1302 daripada jumlah tersebut merupakan pelajar lelaki manakala 1266 adalah pelajar perempuan. Bagaimanapun, jumlah tersebut akan terus meningkat sehingga tempoh rayuan berakhir. Setakat ini, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) mencatatkan jumlah pendaftaran paling tinggi iaitu seramai 462 pelajar.

Kesemua pelajar yang mendaftarkan diri akan mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan oleh lapan fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST).

Pelajar-pelajar baharu tersebut akan menginap di kolej-kolej kediaman yang disediakan oleh pihak universiti dan akan mengikuti Minggu Tranformasi Mahasiswa (MTM) yang berlangsung selama seminggu bermula 1 hingga 6 September ini.

Hadir sama semasa pendaftaran, Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Wahid Razzaly dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad bagi beramah mesra dengan ibu bapa dan keluarga yang hadir menemani anak masing-masing.

Menurut Dr. Afandi, kebajikan pelajar UTHM daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) akan terus dijaga dalam usaha memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna.

Beliau berkata Pejabat Hal Ehwal Pelajar telah menyediakan skim bantuan khusus untuk pelajar kurang berkemampuan iaitu Program Sabil Al-Hikmah. Program tersebut terbahagi kepada lima bentuk bantuan iaitu bantuan kewangan, makanan dan perkakasan, perumahan dan pengangkutan, pengukuhan jati diri, sahsiah dan akademik serta sosio–keusahawanan.

“Inisiatif yang diperkenalkan sejak tahun 2016 ini merupakan satu usaha dan keprihatinan universiti terhadap golongan pelajar kurang berkemampuan yang memerlukan bantuan bagi memastikan mereka mendapatkan bantuan secukupnya sekali gus memberi keselesaan untuk meneruskan pengajian di kampus,” katanya.

Selain itu, universiti juga menyediakan tawaran bantuan kebajikan seperti Tabung Kebajikan Pelajar (TKP), Tabung Wang Ehsan, Khairat Pelajar, Skim Pelajar Bekerja, Zakat, Insurans Berkelompok Pelajar (tempatan), dan Surat Jaminan Hospital (GL).

Oleh itu, beliau menyeru kepada semua pelajar baharu untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan jelas seterusnya berusaha mendapatkan bentuk bantuan yang ditawarkan bagi memastikan kebajikan masing-masing terbela.