BATU PAHAT- Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus menyemarakkan lagi semangat patriotisma dalam kalangan warganya dengan mengadakan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-62 peringkat universiti pada 29 Ogos lalu bagi mendidik generasi untuk lebih menghayati sejarah perjuangan negara dalam mencapai kemerdekaan.

Majlis pelancaran sambutan yang diadakan di Dewan Tunku Mahkota Ismail (DTMI) tersebut diisi dengan slot syarahan bertajuk “Integriti: Identiti Negara Bangsa” yang disampaikan oleh Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri (Dr.) Musa Hassan, yang juga penerima Anugerah Ijazah Kehormat UTHM pada tahun 2010.

Dalam syarahan tersebut, Tan Sri Musa menekankan beberapa perkara penting untuk menjadikan seseorang individu bersifat patriotik antaranya dengan memahami tentang perlembagaan dan sistem pentadbiran negara serta bersedia mengingatkan pemerintah tentang kebaikan dan keburukkan sesuatu perkara demi kemakmuran negara.

Selain itu, beliau turut berpesan kepada warga kampus untuk terus menjadi warganegara yang berintegriti, hormat menghormati serta tidak menghina budaya dan agama setiap kaum yang boleh menggugat keamanan sejagat. Beliau turut menyeru rakyat Malaysia tidak mengira agama, bangsa dan budaya untuk terus bersatu hati menentang sentimen-sentimen perkauman yang boleh merosakkan keharmonian negara ini.

Pelbagai aktiviti lain turut diadakan bagi menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan pada tahun ini. Antaranya tayangan filem patriotik “Bukit Kepong,” pemasangan bendera di setiap Pusat Tanggungjawab (PTj) dan pada kenderaan yang ada di kawasan kampus serta turut menghantar kontinjen UTHM menyertai perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-62 peringkat Daerah Batu Pahat.

Majlis pelancaran sambutan peringkat universiti ini telah disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor, Profesor Dr. Ahmad Tarmizi Abdul Karim. Turut hadir memeriahkan majlis, Pendaftar UTHM, Abdul Halim Abdul Rahman dan Pegawai-pegawai kanan universiti.