Program #Jomkitaplogging berjaya kumpul sisa pepejal untuk dikitar semula

Sebanyak 204.4 kilogram sisa pepejal telah berjaya dikutip oleh para pelajar Universiti Tun Hussein On Malaysia (UTHM) yang menyertai aktiviti  #Jomkitaplogging yang diadakan pada 6 September lalu di sekitar...
WhatsApp Image 2019-09-12 at 10.33.09(1)

Sebanyak 204.4 kilogram sisa pepejal telah berjaya dikutip oleh para pelajar Universiti Tun Hussein On Malaysia (UTHM) yang menyertai aktiviti  #Jomkitaplogging yang diadakan pada 6 September lalu di sekitar pekan Panchor.

Program berbentuk khidmat masyarakat ini diadakan bersempena berlangsungnya Minggu Transformasi Mahasiswa (MTM) pelajar baharu program Sarjana Muda Sesi 1, 2019/2020 di UTHM Kampus Cawangan Pagoh.

Menurut penasihat program, Ts. Dr. Roslinda Ali, Pensyarah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), aktiviti plogging yang melibatkan larian sambil mengutip sampah di sepanjang laluan ini semakin menular dan menjadi tren riadah sihat di seluruh dunia.

“Ini kerana aktiviti yang berasal dari negara Sweden ini merupakan aktiviti serampang dua mata, yang mana individu dapat menjaga kesihatan diri sekali gus dapat menjaga kebersihan alam sekitar pada masa yang sama.

“Selain itu, aktiviti seperti ini dapat menyampaikan mesej kepada komuniti setempat tentang kepentingan bekerjasama antara semua pihak dalam usaha mengekalkan tahap kebersihan dan ekosistem persekitaran yang sihat,” katanya.

Program yang melibatkan penyertaan pelajar seramai 70 orang ini turut dibantu oleh pihak Majlis Perbandaran Muar (MPM).

Sementara itu Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran di MPM, Mohammad Azlie Sham Rasulu pula berkata aktiviti plogging merupakan sebahagian daripada aktiviti mingguan MPM dalam memastikan bandar Muar kekal sebagai bandar terbersih di Asia Tenggara.

Menurut beliau , setakat 10 September 2019 sebanyak 2140 kilogram sisa pepejal telah berjaya dikutip menerusi program ini.  Selepas aktiviti plogging, waste audit dijalankan oleh pihak MPM bagi mengasingkan sisa pepejal yang boleh dan tidak boleh dikitar semula.

“Sisa yang boleh dikitar semula akan dihantar ke pusat kitar semula manakala yang tidak boleh pula akan dihantar ke tapak pelupusan sampah Bukit Bakri, Muar,” jelasnya.

Turut hadir ke program tersebut, Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Dato. Dr. Abdul Razak Omar.

Categories
Hal Ehwal PelajarSosial , Kebajikan dan Masyarakat

RELATED ARTICLE