BATU PAHAT– Seramai 200 penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dipilih sebagai penerima bantuan program Food Bank Siswa yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semasa berlangsungnya majlis pelancaran yang diadakan pada 17 September lalu bertempat di Dewan Tunku Mahkota Ismail, kampus induk.

Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly jumlah penerima tersebut akan bertambah dari semasa ke semasa sehingga penghujung tahun ini.

Datuk Wahid berkata kesemua pelajar yang terpilih adalah pelajar dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Tambah beliau lagi, kira-kira 63 peratus pelajar ijazah sarjana muda di UTHM tergolong dalam kategori B40.

 “Bantuan ini merupakan satu inisiatif tambahan kepada pelajar UTHM dalam menyalurkan bantuan makanan selain bantuan-bantuan lain yang disediakan oleh pihak universiti,” katanya.

Menurut Timbalan Menteri KPDNHEP, Tuan Chong Chieng Jen pihak kementerian amat mengalu-alukan kerjasama dan inisiatif persatuan-persatuan pelajar untuk turut sama membantu pelajar yang memerlukan seiring dengan temanya yang berkonsepkan “Daripada Mahasiswa kepada Mahasiswa.”

 “Program ini juga akan digerakkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Gerakan Pengguna Siswa (GPS) dan Kechara Soup Kitchen (KSK),” katanya ketika menyempurnakan majlis pelancaran program tersebut.

“Untuk permulaan, pihak Leong Hup International, Econsave Cash & Carry (YP) Sdn. Bhd., Nirwana Maju (Yong Peng) Sdn. Bhd., Restoran Syed, Fikri Rice Sdn. Bhd., Restoran Kari Kambing 40 Hari, Restoran Asam Manis, Angenet Sdn. Bhd., Faiza Sdn. Bhd., Lam Soon Edible Oils Sdn. Bhd., Hwa Tai Industries Berhad, Restoran Ceria Maju dan Munchy Food Industries Sdn. Bhd. merupakan rakan penaja bagi program tersebut.

Beliau berkata, setakat ini 13 universiti awam yang melaksanakan program itu, antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras, Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan yang terbaharu adalah UTHM.

“Kita menyasarkan 20,000 mahasiswa dari keluarga yang kurang berkemampuan daripada 20 universiti awam sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Pihaknya berharap sumbangan seumpama ini mampu memberi sinar baharu kepada pelajar yang sedang menuntut ilmu di universiti sekali gus dapat menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Hadir sama ke program tersebut, Pengarah Bahagian Perdagangan Dalam Negeri KPDNHEP, Jafri Embok Taha, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Food Bank Malaysia, Ab Wahab Long, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Gan Peck Cheng, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad dan Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro.