BATU PAHAT – Penganjuran Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA’19) di kampus induk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menarik lebih 10 ribu pengunjung ke Dewan Sultan Ibrahim bagi menyaksikan pameran penyelidikan, ciptaan dan inovasi yang berlangsung selama dua hari pada 22 dan 23 September lalu.

Program anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini diadakan bertujuan untuk mempamerkan hasil ciptaan penyelidikan dan inovasi yang dibangunkan oleh semua Universiti Awam (UA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti dan agensi-agensi berkaitan, bagi membolehkan ahli akademik dan masyarakat membentuk jaringan kerjasama dan pemindahan ilmu antara satu sama lain.

Bertemakan “Inovasi Melangkaui Imaginasi,” penganjuran PECIPTA 2019 ini juga bertujuan menggalakkan lagi aktiviti penyelidikan yang dapat memberi impak kepada industri dan masyarakat sekali gus mampu melangkaui imaginasi dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi masyarakat.

Untuk rekod, penganjuran kali ini merupakan penganjuran kali kedua yang diadakan di luar Lembah Klang dan buat julung kalinya dilaksanakan di dalam kampus universiti.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTHM, Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, UTHM bersedia bekerjasama dengan KPM dalam menganjurkan program-program berimpak tinggi seperti ini.

“Penganjuran PECIPTA di UTHM mendapat maklum balas yang positif daripada ramai pihak. Ini membuktikan UTHM mampu untuk melaksanakan program-program berprestij berskala besar pada masa akan datang,” katanya.

Persidangan dan ekspo kali ini berjaya mengumpul hampir 700 penyertaan termasuk penyertaan daripada pelajar sekolah menengah dan pendidikan khas.

Selain pameran, beberapa slot sampingan turut diadakan seperti Ministry Talk, Chairman talk, International Talk dan Icon Talk serta Karnival Food Truck yang menyajikan pelbagai juadah untuk dinikmati pengunjung.

Sebanyak lapan anugerah telah dipertandingkan di PECIPTA’19 iaitu Anugerah The Pitch, Anugerah PECIPTA, Juara Inovasi Pendidikan Khas, Top Winner Stem Young Inventor, Top Winner Fundamental, Top Winner Innovation, Top Winner Commercialization dan Best of the best.

Majlis penutup PECIPTA’19 yang diadakan pada 23 September itu telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir. Beliau dalam majlis tersebut turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang yang terpilih.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Dr. Mohd Sofi Osman; Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin.