BATU PAHAT – Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyambut kehadiran pelajar baharu dengan persembahan band muzik bagi menceriakan lagi suasana fakulti.

Kumpulan band muzik yang diketuai oleh Profesor Madya Ts. Dr Azman Hassan yang juga merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) itu mempersembahkan empat buah lagu semasa berlangsungnya program Pelajar Baharu bersama Fakulti.

Kumpulan band muzik yang dibentuk hasil gabungan daripada pensyarah akademik dan pembantu jurutera itu menyerikan lagi program tersebut apabila lagu yang dipersembahkan turut memberi keceriaan kepada pelajar baharu.

Program itu turut diserikan dengan kehadiran Dekan FPTV, Profesor Madya Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq dan warga kerja fakulti. Turut diadakan, penyampaian amanat dan kata-kata semangat daripada Dekan dan Timbalan Dekan (HEPA) khusus untuk pelajar yang berjaya mendaftar diri ke fakulti ini.

Menurut Dr. Azman, tujuan band muzik ini ditubuhkan adalah untuk memberi peluang kepada staf FPTV yang berbakat berkarya dan menjadikan muzik sebagai sebahagian gaya hidup yang sihat untuk mengurangkan stress.

“Penubuhan kumpulan band ini juga untuk memberi ruang dan peluang kepada staf menerokai bidang lain selain akademik yang dapat membantu meningkatkan kecerdasan akal fikiran masing-masing selain dapat dijadikan sumber inspirasi dalam mempertingkatkan motivasi diri,” kata beliau.

Selain itu, persembahan band di program bersama pelajar ini juga diadakan bertujuan untuk mendedahkan pelajar baharu tentang kepentingan multi-skill dan kreativiti dalam menghasilkan sesuatu aktiviti yang memerlukan kerjasama dan keseragaman.

Tambah beliau, walaupun kesemua ahli kumpulan band ini terdiri daripada ahli akademik dan pembantu jurutera, bukannya ahli muzik secara profesional namun mereka mampu untuk memberi persembahan yang terbaik.

Usaha seperti ini selari dengan saranan kementerian untuk mewujudkan persekitaran tempat kerja dan tempat belajar yang gembira serta menyeronokkan,” ujar beliau.