BATU PAHAT – Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuhkan hubungan antarabangsa menerusi penganjuran program mobiliti berkredit bersama dua universiti iaitu Korea University of Technology and Education (KOREATECH), Korea Selatan dan Universitas Negeri Yogyakarta (UNY), Indonesia.

Seramai tiga orang pelajar Sarjana Muda Pendidikan Vokasional, FPTV telah menyertai program Mobiliti Berkredit Outbound Spring Exchange ke KOREATECH, Korea Selatan selama satu semester bermula Februari lalu.

Sementara itu, FPTV juga turut menerima 15 pelajar dari UNY bagi Program Mobiliti Inbound Latihan Industri yang mana para pelajar tersebut menjalani program latihan industri dan ditempatkan di Adventure Waterpark Desaru Coast, Desaru Johor selama dua bulan sejak Julai lalu.

Menurut Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), FPTV  Ts. Dr. Mohd Hasril Amiruddin , menerusi  program mobiliti ini pelajar FPTV yang merupakan bakal pendidik bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat menimba pengalaman di institusi TVET luar negara sekali gus menjadi satu kelebihan kepada mereka untuk bersaing dengan graduan universiti lain.

“Keadaan ini secara tidak langsung membenarkan mereka menerokai bidang ilmu atau sistem pendidikan baharu di universiti-universiti yang dilawati selain dapat membantu FPTV memperluaskan hubungan antarabangsa melalui pertukaran idea dan pengalaman bersama pelajar tempatan mahupun luar negara,” ujar beliau.

“FPTV akan terus mengetengahkan pelajar menerusi program mobiliti seumpama ini, yang juga merupakan platform terbaik untuk fakulti ini mengembangkan rangkaian perhubungan dengan universiti lain di luar negara”, tambahnya lagi.